KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Kementerian Pertahanan sedang memperkukuhkan kepakaran dalam bidang peperangan elektronik (EW), siber dan operasi dron selaras perkembangan peperangan moden yang melibatkan penggunaan dron tempur, peluru berpandu jarak jauh, EW serta teknologi berasaskan kecerdasan buatan (AI).
Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata kementerian turut memfokuskan usaha mempertingkatkan kawalan pangkalan dan aset strategik utama melalui penggunaan teknologi pengesanan dan pencegahan pesawat tanpa pemandu (UAV).
Selain itu, beliau berkata Kementerian Pertahanan juga menggiatkan lagi kerjasama dengan rakan strategik serantau dan antarabangsa dalam bentuk latihan bersama dan perkongsian teknologi serta kepakaran.
“Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah melaksanakan beberapa perolehan aset baharu seperti sistem UAV Anka-S yang meningkatkan keupayaan pemantauan dan pengumpulan maklumat risikan. Pada masa ini, ATM mempunyai keupayaan asas dalam EW dan pertahanan udara jarak dekat untuk menghadapi ancaman udara tertentu.
“Namun, perlu diakui masih wujud jurang kemampuan terutama dalam aspek pertahanan udara berlapis jarak sederhana-jauh, Counter-Unmanned Aerial Systems (C-UAS) secara menyeluruh serta integrasi penuh AI dan automasi dalam sistem perintah dan kawalan (C2),” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial