Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Keperluan Tenaga Profesional Sektor Perkapalan, Maritim Perlu Diisi Segera

04/10/2025 04:00 PM

ALOR GAJAH, 4 Okt (Bernama) -- Keperluan tenaga kerja profesional dalam sektor perkapalan dan pelbagai jawatan penting dalam industri maritim di negara ini berada pada tahap kritikal dan perlu diisi segera, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke. 

Beliau berkata hampir 40 peratus kru kapal yang berkhidmat di negara ini terdiri warga asing dan sudah masanya kelompangan itu diisi oleh pelaut tempatan yang berkualiti. 

"Sektor ini amat penting kerana sebuah kapal memerlukan pelbagai kepakaran termasuk jurutera, juruteknik dan pegawai pengurusan logistik dan sudah tentu bidang maritim ini menawarkan prospek cerah dengan pulangan gaji yang tinggi. 

Ad Banner
Ad Banner

"Namun di Malaysia, minat dalam kerjaya sebagai pelaut masih kurang berbanding negara seperti Filipina dan Indonesia. Oleh itu, lebih banyak kempen kesedaran, bengkel dan program masyarakat perlu dilaksanakan bukan sahaja untuk anak muda tetapi juga kepada ibu bapa," katanya. 

Beliau berkata kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen Akademi Laut Malaysia (ALAM) Sungai Baru di sini hari ini.

Loke berkata peningkatan jumlah kadet wanita di ALAM juga memberi petunjuk postif penerimaan golongan berkenaan dalam sektor perkapalan dan maritim walaupun masih kira-kira 10 peratus daripada jumlah keseluruhan kadet yang melanjutkan pengajian di akademi itu. 

“Tawaran kursus pengurusan maritim dan logistik yang ada kaitan dengan sektor perkapalan banyak membuka peluang kepada golongan wanita menceburi bidang yang didominasi oleh kaum lelaki.

"Walaupun mempunyai cabaran tersendiri termasuk berada di laut selama dua hingga tiga bulan, keselamatan kru wanita amat dititikberatkan memandangkan semua syarikat perkapalan mempunyai ‘Code of Conduct’  (tatakelakuan)yang sangat ketat terhadap semua petugas di atas kapal dan ini memberi jaminan keselamatan mereka," katanya. 

Beliau berharap lebih banyak syarikat perkapalan tempatan tampil memberikan tajaan kepada pelajar untuk mengikuti kursus di ALAM termasuk latihan praktikal yang wajib dijalani di atas kapal.

“Seperti MISC, pada setiap tahun mereka menawarkan biasiswa kepada kadet untuk belajar di ALAM sebelum ditempatkan bekerja dengan mereka. Namun, usaha ini tidak boleh dipikul oleh satu syarikat sahaja.

"Untuk itu kita mahu lebih banyak syarikat perkapalan lain turut serta memberikan sokongan kewangan kepada pelatih serta ruang latihan amali sebagai usaha menyokong usaha memperkasakan lagi jumlah pekerja profesional tempatan dalam sektor perkapalan," katanya. 

Terdahulu, pada majlis itu sebanyak 332 kadet ALAM daripada pelbagai jurusan diraikan selepas tamat latihan pada peringkat diploma manakala 153 kadet baharu bagi semester pertama menerima biasiswa di bawah MISC Education Sponsorhip Program bagi tahun ini. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan