KUCHING, 3 Okt (Bernama) -- Simposium Antarabangsa iRandau 2025 yang berlangsung sejak Rabu di Lebu’ Kulit, Sungai Asap, Belaga berjaya menghimpunkan lebih 250 peserta dari dalam dan luar negara sebelum melabuhkan tirainya hari ini.
Menurut kenyataan Jabatan Sains Sosial dan Pengurusan Universiti Putra Malaysia (UPM) Sarawak, majlis penutup simposium bertemakan “Bridging Gaps, Fostering Sustainability” itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Digital Datuk Wilson Ugak Kumbong.
Dalam ucapannya, Ugak berkata tradisi Randau yang bermaksud "perbincangan" dalam bahasa Iban kini bukan sahaja dikekalkan di rumah panjang, malah diangkat ke pentas antarabangsa sebagai identiti budaya dan tarikan pelancongan Sarawak.
“iRandau bukan sahaja mengekalkan keaslian tradisi, tetapi menjadikannya tarikan pelancongan global. Ia adalah jambatan yang menghubungkan akar budaya dengan pembangunan moden,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Hulu Rajang berkata kerajaan negeri komited merapatkan jurang digital di kawasan luar bandar Sarawak melalui pembangunan infrastruktur serta pelaburan untuk masa depan rakyat.
“iRandau 2025 membuktikan masyarakat luar bandar berpeluang menceburi keusahawanan digital, penciptaan kandungan dan kepimpinan komuniti,” tambah Ugak.
Kenyataan itu memaklumkan bahawa simposium itu berfokus kepada bidang sains sosial, ekonomi, pengurusan serta sains dan teknologi, selain bertujuan mengangkat pemeliharaan tradisi Orang Ulu, pemerkasaan digital belia luar bandar serta kerjasama antara akademia dan komuniti.
Turut hadir pada majlis itu ialah Ahli Dewan Negara, Senator Michael Mujah Lihan; Ahli Dewan Undangan Negeri Murum, Kennedy Chukpai Ugon; Pengarah UPM Sarawak, Prof Dr Shahrul Razid Sarbini; Pengarah Pusat Belia Antarabangsa, Dr Mohamed Maliki Mohamed Rapiee serta Timbalan Ketua Kampung Lebu’ Kulit, Daniel Ding.
Simposium itu turut mendapat kerjasama strategik daripada Konsortium Universiti Universitas Borneo (KUUB), Pusat Belia Antarabangsa, Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Jabatan Penerangan serta sokongan Business Event Sarawak.
“Simposium Antarabangsa iRandau anjuran Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains (FKPS) UPM Sarawak sejak 2019 kini semakin berkembang menjadi penjenamaan ilmu yang mengukuhkan peranan universiti sebagai pusat penyelidikan dan rujukan komuniti di Borneo,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial