Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Steven Sim Seru Solidariti Global Untuk GSF Di Pentas WSSF

03/10/2025 04:47 PM

KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) -- Menteri Sumber Manusia Steven Sim menyuarakan solidariti terhadap Global Sumud Flotilla (GSF) pada Forum Keselamatan Sosial Sedunia (WSSF) 2025 yang menghimpunkan perwakilan dari lebih 130 negara. 

Dalam ucapannya pada Majlis Makan Malam Gala WSSF malam tadi, Sim menggesa masyarakat antarabangsa bersatu menentang ketidakadilan dan bertindak menghentikan kekejaman yang masih berterusan.

“Kita bertanggungjawab dalam melindungi rakyat dan memelihara maruah, memastikan pekerja kita selamat. Tetapi saya turut terpanggil untuk menyuarakan mengenai keselamatan mereka yang terancam, bukan kerana kemalangan, tetapi mereka ditahan, kebebasan dinafikan, maruah diinjak-injak.

Ad Banner
Ad Banner

“Tiga puluh empat rakyat Malaysia antara jiwa berani yang ditawan ketika melakukan misi kemanusiaan GSF ke Gaza, Palestin,” katanya.

Ketua Pengarah Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby pada semalam mengesahkan 23 sukarelawan Malaysia ditahan oleh pasukan Israel.

Rakyat Malaysia yang ditahan ialah penyanyi Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah yang menaiki kapal Hio; Nurfarahin Romli (Farah Lee) dan Danish Nazran Murad (kapal Grande Blu); penyanyi Zizi Kirana (kapal Huga); Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil (kapal Alma); Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiduddin dan Rusydi Ramli (kapal Sirius).

Yang lain termasuk Razali Awang (kapal Inana); pempengaruh Nurul Hidayah Mohd Amin atau lebih dikenali Ardell Aryana (kapal Mikeno); PU Rahmat, Norhelmi Ab Ghani, Mohd Asmawi Mukhtar, Norazman Ishak (kapal Estrella); Zainal Rashid dan Ustaz Muhammad (kapal Fair Lady) serta Muhammad Hareez Adzrami atau lebih dikenali Haroqs, Muhd Haikal Luqman Zulkefli dan Taufiq Mohd Razif (kapal Free Willy).

GSF disertai lebih 500 aktivis dari 45 negara belayar menuju ke Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel.

Sementara itu, Sim merakamkan penghargaan kepada Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA) kerana memilih Kuala Lumpur sebagai ibu negara keselamatan sosial dunia sepanjang minggu lepas, menyaksikan lebih 1,000 peserta berhimpuan bagi merangka masa depan sistem perlindungan sosial global.

“Saya berharap Kuala Lumpur memberi ruang dan peluang kepada para perwakilan untuk mengadakan perbincangan yang berkesan,” katanya.

Sim turut menyentuh mengenai kepentingan usaha untuk melindungi manusia dan mempertahankan maruah walau di mana jua berada, dan keputusan yang dibuat pada forum itu dijangka memberi kesan terhadap kehidupan berbilion manusia.

“Kita tidak mempertahankan maruah dengan senjata atau bom sebaliknya menerusi dasar sosial yang berteraskan keyakinan bahawa setiap insan, lelaki dan wanita, muda dan tua, tanpa mengira warna kulit dan pegangan, sama ada sihat atau berkeupayaan terhad, berhak untuk memiliki kehidupan yang bermaruah,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan