KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Thomson Fertility mengetengahkan rawatan In Vitro Activation (IVA), iaitu kaedah kesuburan terkini, yang menawarkan harapan baharu kepada wanita yang didiagnosis dengan Primary Ovarian Insufficiency (POI) dan diminished ovarian reserves (DOR), dua keadaan yang menjejaskan potensi kesuburan secara ketara.
Thomson Fertility dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa IVA merupakan pendekatan inovatif yang direka untuk membantu wanita dengan fungsi ovari terhad, menggunakan telur sendiri bagi mencapai kehamilan, satu kejayaan dalam bidang perubatan reproduktif, khususnya bagi pesakit yang sebelum ini peluang untuk hamil, tipis.
Menurut kenyataan itu lagi, penyelidikan menunjukkan kadar kelahiran hidup bagi wanita dengan POI dan DOR berpotensi meningkat daripada sekitar lima peratus kepada setinggi 20 peratus, melalui prosedur IVA.
Proses IVA melibatkan pembedahan key-hole untuk mengeluarkan sebahagian tisu ovari, diikuti dengan teknik makmal untuk mengaktifkan folikel tidak aktif di luar tubuh.
“Tisu yang diaktifkan semula itu kemudiannya ditanam semula ke dalam ovari, sebelum pesakit menjalani terapi hormon untuk merangsang pertumbuhan folikel,” menurut kenyataan itu.
Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi, Pakar Kesuburan, Subpakar Perubatan Reproduktif serta Pakar Bedah Ginekologi Invasif Minimum Thomson Fertility Prof Dr S. Prasanna berkata teknologi itu, merupakan satu kejayaan besar yang memberi harapan kepada wanita yang ingin menimang cahaya mata.
“Bagi wanita yang hidup dengan POI atau DOR, cabaran kesuburan sering terasa seperti pintu yang tertutup. IVA satu langkah saintifik yang luar biasa, membuka peluang kepada mereka untuk menggunakan telur sendiri dalam usaha mereka menjadi seorang ibu,” katanya dalam kenyataan itu.
Bagi memperkukuh kesedaran dan ketercapaian rawatan IVA di Malaysia, Thomson Fertility telah bekerjasama dengan pakar terkemuka dunia dalam teknologi IVA, Prof Dr Kazuhiro Kawamura daripada Universiti Juntendo, Tokyo.
“IVA merupakan kemuncak daripada penyelidikan meluas mengenai pengaktifan tisu ovari. Kerjasama dengan pusat seperti Thomson Fertility di Malaysia, memastikan lebih ramai pesakit dapat mengakses dan meraih manfaat daripada penyelidikan saintifik terkini, ketika mereka meneroka kemungkinan untuk memulakan hidup berkeluarga,” kata Kawamura.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Thomson Fertility Lakshmi Menon berkata pusat itu kekal komited untuk meraikan kehidupan melalui inovasi dan belas ihsan dalam bidang perubatan reproduktif.
“Dengan meningkatkan kesedaran mengenai IVA, kami berusaha memperkasakan setiap wanita yang telah dimaklumkan bahawa tiada peluang untuk mereka, dengan memberikan pengetahuan tentang pilihan yang ada untuk mereka. Kami ingin menyampaikan mesej bahawa ‘masih ada harapan dan jalan untuk menjadi seorang ibu’.
“Bagi wanita Islam dengan fungsi ovari terhad untuk menggunakan telur sendiri, IVA merupakan peluang penting untuk memulakan keluarga. Dengan lebih daripada 8,000 bayi IVF yang telah dilahirkan melalui kemudahan ini, Thomson Fertility terus berada di barisan hadapan inovasi kesuburan di Malaysia dan rantau sekitarnya,” katanya.
Beliau berkata pusat berkenaan kekal komited untuk memacu inovasi, mendidik pesakit serta memberikan penjagaan penuh belas ihsan, bagi memastikan wanita dan pasangan diberikan setiap peluang untuk merealisasikan impian membina keluarga melalui IVA serta kerjasama dengan pakar bertaraf dunia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial