Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

MSRD 2025 Tawar Lebih 500 Peluang Pekerjaan Dengan Syarikat Teknologi Tempatan, Antarabangsa

02/10/2025 06:48 PM

KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Hari Pengambilan Pekerja Semikonduktor Malaysia (MSRD) 2025 akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari 8 hingga 11 Okt dengan menawarkan lebih 500 peluang pekerjaan daripada lebih 30 syarikat teknologi tempatan dan antarabangsa. 

Kenyataan bersama Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) dan Advanced Semiconductor Academy of Malaysia (ASEM) memaklumkan kemasukan adalah percuma dan dianjurkan sempena Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor (SDEC) 2025 dengan tema AI × Semiconductor: Blitzscaling Malaysia’s Deep Tech.

Antara senarai awal pempamer ialah syarikat antarabangsa seperti AMD, NSW Inc, Texas Instruments, ST Microelectronics, Infineon dan Supermicro selain syarikat tempatan yang semakin kukuh termasuk SkyeChip, Maistorage Technology, HexoSys, SMD Semiconductor, SOPHIC Automation, Tenasic Technology serta Weeroc Space dengan banyak lagi akan diumumkan.

Ad Banner
Ad Banner

“MSRD memampatkan proses pencarian kerja yang mengambil masa berbulan-bulan kepada hanya empat hari yang bernilai tinggi. Calon bertemu pengurus pengambilan dan jurutera secara bersemuka, sebelum menyertai sesi yang mencerminkan persekitaran sebenar akan digunakan di tempat kerja,” kata Pengurus Besar ASEM Angel Low. 

MSRD juga menampilkan sesi pembelajaran Arm On-Demand bagi mempercepat peningkatan kemahiran, ucaptama oleh bekas naib presiden Nvidia Corp Datuk Lai Yit Loong, perkembangan terkini oleh Synopsy Singapore manakala Cadence mengendalikan taklimat teknikal untuk memberikan pendedahan langsung kepada alatan digunakan secara meluas dalam reka bentuk, verifikasi dan pembuatan. 

Penganjur memaklumkan julat gaji ditawarkan majikan mengambil bahagian adalah antara RM5,000 hingga RM6,000 untuk graduan baharu, manakala kira-kira RM7,000 bagi pemegang ijazah sarjana dengan pengalaman berkaitan.

Ad Banner

“Walaupun jumlah sebenar bergantung kepada syarikat dan jawatan terlibat, panduan ini bertujuan untuk menjadikan perbincangan di tapak (penganjuran) lebih produktif,” menurut kenyataan itu. 

Pelajar dan mereka terlibat dinasihatkan untuk membawa resume bercetak dan digital, portfolio ringkas serta bersedia dengan soalan khusus mengenai toolchains, kitaran hayat produk dan metrik kejayaan dalam tempoh enam bulan.

Mereka yang berminat menghadiri program itu digalakkan membuat pendaftaran awal untuk kemasukan dan kemas kini sesi menerusi https://www.asemedu.com/go/msrdsidec.

“Bagi majikan, MSRD menggabungkan pencarian bakat peringkat awal, pembinaan jenama dan dialog teknikal dalam satu lokasi,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan