Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

SPRM Melaka Syor Perkukuh Tatakelola MSSB

02/10/2025 04:59 PM

MELAKA, 2 Okt (Bernama) – Sebanyak lima cadangan penambahbaikan tatakelola telah dibentangkan oleh Unit Penyiasatan Tatakelola (UPT) SPRM Melaka kepada Melaka Sentral Sdn Bhd (MSSB) berhubung pengurusan kewangan berkaitan kutipan hasil perniagaan MSSB. 

 

Antara cadangan itu ialah membuat penukaran nombor kombinasi peti besi sebanyak dua kali setahun bagi mengelakkan berlakunya kebocoran nombor kerana peti besi di MSSB adalah tempat berisiko tinggi.

Ad Banner
Ad Banner

 

Cadangan kedua, melantik sekurang-kurangnya dua pegawai pemegang anak kunci peti besi atau nombor kombinasi peti besi bagi memudahkan operasi sekiranya salah seorang bercuti atau tiada di pejabat.

 

Ad Banner

Manakala cadangan lain, mengeluarkan surat lantikan atau surat kuasa sebagai pemegang anak kunci dan nombor kombinasi peti besi kepada kakitangan yang dilantik serta memasukkan pernyataan bagi hukuman punitif atau tindakan sekiranya berlaku pelanggaran garis panduan pengurusan kewangan dan perakaunan MSSB.

 

Kesemua syor itu telah disampaikan oleh Timbalan Pengarah (Operasi) SPRM Melaka, PPj Dzul Azmi Yahya kepada MSSB yang telah disambut baik oleh Pengurus Besar MSSB, Zulhafni Mad Rahis dan Ketua Pegawai Operasi Perbadanan Melaka (MCORP), Muhammad Ridzwan Yap Abdullah pada Majlis Menandatangani Persetujuan Cadangan Penambahbaikan Tadbir Urus MSSB di bilik mesyuarat MCORP di sini, kelmarin.

 

Cadangan penambahbaikan itu adalah berdasarkan kertas siasatan diterima SPRM Melaka pada Mei 2025 yang mendapati wujud kelemahan di dalam tadbir urus pengurusan kewangan berkaitan kutipan hasil perniagaan dijalankan oleh MSSB.

 

Kelemahan itu  membabitkan garis panduan kewangan dan perakaunan MSSB tidak memperincikan secara jelas kaedah penyimpanan yang perlu dilaksanakan oleh kakitangan MSSB sekali gus membuka ruang dan peluang berlakunya penyelewengan terhadap jumlah hasil kutipan.

 

Sementara itu, Zulhafni turut menzahirkan penghargaan kepada SPRM Melaka atas bantuan memperkukuhkan tatakelola pengurusan kewangan berkaitan kutipan hasil perniagaan MSSB bagi mengelakkan berlakunya penyelewengan, ketirisan serta menutup ruang dan peluang berlakunya jenayah rasuah.

 

Turut hadir Timbalan Pengarah (Pencegahan) SPRM Melaka, Ps Muhammad Aiman  Lingen Abdullah, Ketua Unit Penyiasatan Tatakelola SPRM Melaka, Ps Ng Peik Lee dan Pegawai Unit Integriti Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, PsK Mahmud Ahmad.

— BERNAMA

 

                                   


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan