Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Industri Fesyen Tempatan Berpotensi Sumbang Lebih Besar Kepada Ekonomi Negara - Armizan

02/10/2025 05:11 PM

KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Industri berasaskan fesyen di Malaysia berpotensi tinggi untuk berkembang lebih pesat, sekali gus menyumbang lebih besar kepada pertumbuhan ekonomi negara, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Ali.

Beliau berkata laporan Shopperboard yang dikeluarkan pada Mei lepas menganggarkan penembusan industri fesyen dalam urus niaga e-dagang di Malaysia mencecah 19.2 peratus, dengan nilai jualan mencapai USD5.24 bilion bagi tahun ini.

Selain itu, Armizan berkata Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) mengunjurkan nilai industri tekstil dan pakaian negara adalah kira-kira USD3.5 bilion setahun dan dijangka meningkat kepada USD4.47 bilion menjelang 2030.

Ad Banner
Ad Banner

“Walaupun angka asas itu sudah cukup membanggakan, penting untuk kita tidak berpuas hati. Kita kena bangunkan lagi potensinya ke satu anjakan yang lebih besar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) 2025 bersama Persatuan Pereka Bumiputera Malaysia (MBDA) sempena kempen ‘My Gaya Month’ di sini hari ini.

Justeru, Armizan berkata industri fesyen wajar diberikan perhatian dalam KBBM kerana ia merangkumi segmen gaya hidup yang semakin mendapat tempat di hati pengguna.

Ad Banner

“Sebab itu kita melihat penganjuran ‘My Gaya Month’ mampu menjadi platform penting bagi memperkukuh ekosistem fesyen menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 kerana bukan sekadar mempromosikan jualan, tetapi juga sebagai wadah perkongsian strategi dan amalan terbaik,” katanya.

Armizan turut menzahirkan keyakinan program itu berupaya membina kesedaran masyarakat bahawa jenama fesyen tempatan mempunyai keunikan, kualiti dan kekuatan setanding dengan jenama antarabangsa.

Beliau berkata pada tahun lepas, nilai jualan kempen ‘My Gaya Month’ mencatatkan peningkatan ketara apabila mencecah RM1.1 juta, meningkat 39.16 peratus berbanding RM802,254.30 pada 2023.

“Pencapaian ini sekali gus membuktikan kemampuan produk fesyen tempatan untuk terus bersaing di pasaran serta meningkatkan keyakinan pengguna terhadap jenama Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan