Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

ATSN Medan Bentuk Barisan Pemimpin Masa Depan - Zambry

01/10/2025 11:59 PM

PUTRAJAYA, 1 Okt (Bernama) -- Anugerah Tokoh Siswa Negara 2025 (ATSN) yang mengiktiraf sumbangan mahasiswa institut pendidikan tinggi (IPT), merupakan landasan penting dalam membentuk barisan pemimpin masa depan negara, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Majlis ATSN ke-9 di sini hari ini, beliau berkata pengiktirafan itu bukan sahaja mencungkil dan merangsang bakat kepimpinan pelajar, malah turut menyediakan ruang untuk mereka mengasah potensi diri dalam pelbagai bidang terutamanya dalam kapasiti kepimpinan.

“Saya yakin di setiap IPT, sama ada universiti, politeknik mahupun kolej komuniti akan meneruskan program kepimpinan di kampus masing-masing.

Ad Banner
Ad Banner

“Di situlah kita dapat membina daya kepimpinan dan keseluruhan potensi yang ada dalam setiap mahasiswa dan mahasiswi kita,” katanya yang turut menitipkan ucapan tahniah kepada kesemua pemenang di majlis itu.

Majlis berprestij yang memasuki penganjuran kali kesembilan itu mula diperkenalkan pada 2013 dengan nama Anugerah Tokoh Siswa (ATS).

Objektif utama penganjuran ATSN 2025, bertujuan mengiktiraf sumbangan mahasiswa dan badan pelajar IPT, memupuk semangat nasionalisme, meningkatkan kebolehsaingan serta melahirkan pewaris kepimpinan negara.

Ad Banner

Sebanyak 11 kategori individu dipertandingkan meliputi kepimpinan, seni warisan, keusahawanan, sukan rekreasi, bicara siswa, inovasi, kesukarelawanan, khidmat komuniti, inklusiviti, perpaduan dan kelestarian siswa.

Selain itu, ATSN turut menawarkan Anugerah Sinergi Kepimpinan (kategori berkumpulan) serta empat Anugerah Penghargaan Khas (Menteri PendidikanTinggi, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi) manakala Anugerah Tokoh Siswa Negara merupakan anugerah utama yang ditawarkan dalam majlis ATSN 2025.

Pada majlis itu, Ng Zhen Fan Shankar dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) merangkul Anugerah Tokoh Siswa Negara.

ATSN menerima 246 penyertaan dari seluruh IPT (universiti awam, institusi pendidikan tinggi swasta, Politeknik dan Kolej Komuniti) dengan 75 calon berjaya ke peringkat akhir. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan