Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Sultan Pahang Berkenan Rasmi Program Bantuan Asnaf Nelayan Darat Negeri Pahang

01/10/2025 08:57 PM

PEKAN, 1 Okt (Bernama) -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan merasmikan Program Bantuan Asnaf Nelayan Darat Negeri Pahang di Rumah Rakit Maraie, Kampung Padang Rumbia di sini.

Pada majlis anjuran Yayasan AmanahRaya Berhad dengan kerjasama Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) itu, baginda turut berkenan menyerahkan cek cura berjumlah RM305,250.40 kepada tiga wakil nelayan darat mewakili 30 penerima dari daerah Pekan, Kuantan dan Rompin. 

Berangkat sama, Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah. 

Ad Banner
Ad Banner

Turut hadir, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta barisan Exco Pahang. 

Sebagai simbol usaha pemuliharaan sumber perikanan, baginda turut berkenan melepaskan 100,300 ekor benih ikan terdiri daripada spesies patin buah, terbul, baung sungai, lampam sungai dan udang galah ke perairan Sungai Pahang.

Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia Datuk Adnan Hussain berkata bantuan itu meliputi bot gentian kaca, enjin sangkut, jaket keselamatan dan peralatan menangkap ikan termasuk jaring, bubu ketam dan tong insulasi bagi meningkatkan keupayaan operasi nelayan darat.

Ad Banner

“Tujuan kita (Jabatan Perikanan) beri bantuan adalah untuk mereka (nelayan darat) menggunakan peralatan ini bagi keluar menangkap ikan dan menambah pendapatan mereka supaya mereka dapat keluar daripada belenggu kemiskinan. Itu hasrat kita,” katanya kepada pemberita selepas majlis itu. 

Beliau berkata pihaknya telah melepaskan 2.3 juta benih ikan setiap tahun di Pahang. 

“Ini adalah bagi meningkatkan stok populasi ikan di Pahang dan secara tidak langsung menambah pendapatan nelayan-nelayan sungai yang keluar menangkap ikan di Sungai Pahang ini,” katanya. 

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan AmanahRaya Berhad Ahmad Faezal Sulaiman Khan berkata Yayasan AmanahRaya turut menyampaikan bantuan sebanyak RM15,400 kepada Mohamad Khairil Amri Abd Halim seorang nelayan dari Kampung Cherok Paloh, Kuantan untuk menggantikan peralatan menangkap ikan yang musnah dalam kejadi kebakaran baru-baru ini.

Beliau berkata pihaknya juga menyalurkan RM100,000 dana zakat kepada pelajar Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UNIPSAS) bagi menyokong pelajar asnaf menampung kos sara hidup dan pengajian, selain menyumbang RM50,000 kepada 50 asnaf terpilih melalui Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) untuk meringankan beban kos sara hidup harian.

“Kami juga mengalu-alukan lebih ramai pihak menyalurkan sumbangan melalui Yayasan AmanahRaya kerana sebagai syarikat milik penuh kerajaan, sumbangan yang dibuat layak mendapat pelepasan cukai,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan