Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

SNCC Sahkan Laporan Cubaan Intimidasi Dua Kapal GSF

01/10/2025 07:56 PM

SEPANG, 1 Okt (Bernama) -- Sumud Nusantara Command Centre (SNCC) mengesahkan laporan cubaan intimidasi oleh kapal tentera yang diyakini milik rejim Israel terhadap dua kapal utama Global Sumud Flotilla (GSF), Alma dan Sirius yang sedang belayar menuju Gaza.

Ketua Pengarah SNCC Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata kapal tentera berkenaan bukan sahaja mengelilingi kedua-dua kapal itu, tetapi juga dilaporkan mengganggu sistem komunikasi di atas kapal, termasuk kamera litar tertutup (CCTV).

Beliau turut mendedahkan kewujudan aktiviti mencurigakan melibatkan kira-kira 10 dron yang terbang dalam formasi mengelilingi ruang flotila.

Ad Banner
Ad Banner

"Tiada pintasan fizikal berlaku dan seluruh delegasi berada dalam keadaan selamat serta kekal berjaga-jaga," katanya pada sidang media perkembangan terkini GSF di sini hari ini.

Sany Araby yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) berkata kapal misi GSF telah memasuki Zon Kuning terakhir pada 4.20 pagi waktu Malaysia.

"Flotila dijangka memasuki Zon Merah 3 (100 batu nautika dari Gaza), bermula 9 malam waktu Malaysia hari ini.

Ad Banner

"Semua kapal pemerhati tidak akan memasuki Zon Merah mengikut perancangan yang telah ditetapkan. Ini termasuk kapal Shireen (Tunisia) dan Summertime-Jong (Itali)," katanya.

Beliau berkata siaran langsung rakaman CCTV dari atas kapal telah mula diaktifkan melalui laman rasmi www.sumudnusantara.com untuk disaksikan masyarakat dunia sebagai rakaman bukti sekiranya berlaku sebarang insiden.

Sany Araby turut meminta rakyat Malaysia bersatu hati tanpa mengira bangsa, agama, dan fahaman politik untuk terus menyokong dan mendoakan agar misi flotila berjaya serta bebas daripada keganasan.

Ditanya mengenai kemungkinan serangan ke atas GSF, beliau berkata pihak delegasi sentiasa bersedia untuk berhadapan dengan situasi kebarangkalian dipintas ketika masuk Zon Merah berdasarkan pengalaman sebelum ini antaranya seperti kapal Madleen, Handala dan Mavi Marmara.

"Kita masih berada di perairan antarabangsa dan kita tidak melanggar apa-apa hal yang bersangkutan dengan kesalahan ataupun legal dan ini juga melibatkan 45 negara.

"Jadi kita desak untuk kepimpinan negara, kepimpinan dunia, masyarakat awam untuk menggunakan masa yang ada ini untuk terus melihat hal yang berlaku, genosid di Gaza untuk kita bangkit dan kecam serta kita mohon satu tindakan politik dapat diakukan di peringkat yang lebih besar," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan