Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Mforce Lancar Minyak Pelincir Rasmi Dengan Kerjasama Petronas

01/10/2025 06:34 PM

KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) -- Mforce Bike Holdings Sdn Bhd melancarkan jenama minyak pelincir rasminya, Mforce Oil, hasil kerjasama strategik dengan Petronas Lubricants Marketing (Malaysia) Sdn Bhd.

Ketua Pegawai Operasi Mforce, Asri Ahmad berkata kerjasama itu menggabungkan teknologi pelincir terkini Petronas bagi menghasilkan lapan variasi minyak enjin khusus untuk motosikal keluaran syarikat berkenaan.

“Kerjasama ini menghasilkan beberapa versi khas minyak enjin yang sesuai digunakan untuk semua enjin motosikal Mforce dan ia akan mula diedarkan ke seluruh negara bermula 15 Okt ini.

Ad Banner
Ad Banner

“Justeru, pengedar sah Mforce, stokis, dan pengedar boleh membuat tempahan lebih awal bagi mendapatkan Mforce Oil powered by Petronas,” katanya pada Majlis Mforce Mid-Autumn Gala Dinner 2025, Selasa lepas.

Asri berkata minyak pelincir berkenaan ditawarkan dalam gred sintetik penuh, separuh sintetik dan mineral, sesuai untuk pelbagai segmen motosikal.

Pada masa sama, beliau berkata Mforce turut memperkenalkan lima model motosikal baharu bagi pasaran tempatan, iaitu tiga model skuter: SYM Cruisym 400 berharga RM27,888; SYM Naga 155 (RM7,868); dan skuter serba guna WMoto EZ125i (RM4,588).

Ad Banner

Turut diperkenalkan dua model moped atau motosikal berkuasa rendah, iaitu SYM VFE 185i versi kemas kini dengan penampilan ciri baharu pada harga RM9,988, serta motosikal berkonsep klasik dilengkapi sistem enjin automatik, WMoto Cruiser 185 AMT, dijual pada harga RM6,888.

Semua harga adalah harga jualan asas, tidak termasuk insurans dan cukai jalan.

Asri turut mengumumkan Mforce bakal melebarkan sayap ke pasaran antarabangsa dengan pembukaan rasmi cawangan syarikat itu di Ho Chi Minh City, Vietnam, pada 27 November depan.

Katanya langkah itu dipacu prestasi cemerlang syarikat yang mencatatkan jualan tertinggi sejak tahun lalu, dengan penguasaan hampir 16 peratus pasaran motosikal keseluruhan dan 85 peratus dalam segmen motosikal elektrik di Malaysia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan