KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) -- Belia dikenal pasti sebagai tonggak utama transformasi gerakan koperasi pada masa depan, kata Ketua Pengarah Institut Koperasi Malaysia (IKMa) Datuk Mohd Ali Mansor.
Beliau berkata kelestarian jangka panjang sektor koperasi amat bergantung kepada penyertaan strategik golongan muda yang mampu memperkukuh kepimpinan, memperkenal inovasi serta menyesuaikan diri dengan cabaran global seperti perubahan iklim dan pendigitalan.
“Gerakan koperasi yang memberi ruang kepimpinan kepada belia lebih berdaya saing, dinamik dan bersedia mendepani perubahan masa depan,” katanya dalam kenyataan sempena Persidangan Koperasi Antarabangsa (ICC) 2025 di sini, hari ini.
Persidangan anjuran IKMa di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) itu menghimpunkan pembuat dasar, pemimpin koperasi, ahli akademik dan wakil belia dari ASEAN dan antarabangsa dengan tema Youth for Cooperative Future.
Mohd Ali berkata setakat tahun lepas, sebanyak 207 koperasi belia dengan hampir 88,000 ahli mencatat peningkatan pendapatan lebih empat kali ganda dalam tempoh lima tahun – daripada USD3.5 juta (kira-kira RM14.716 juta) kepada USD14.3 juta (kira-kira RM60.124 juta).
Namun, sumbangan koperasi belia masih kecil berbanding jumlah keseluruhan hasil sektor koperasi sebanyak USD16.3 bilion (kira-kira RM68.533 bilion). Bagaimanapun, trend peningkatan itu jelas menunjukkan penglibatan belia kini menjadi keperluan strategik.
Beliau berkata fokus IKMa adalah kepada tiga bidang utama iaitu pemerkasaan belia dan inovasi sosial; keusahawanan dan daya saing ekonomi; serta pertukaran ilmu dan penerapan teknologi.
Katanya antara program yang dilaksanakan termasuk Graduan Ke Koperasi (G2K) dan Memperkasa Digitalisasi Sektor Koperasi (CODE) bagi melengkapkan golongan muda dengan ilmu serta kemahiran diperlukan.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Willie Mongin yang merasmikan persidangan, berkata tanpa kepimpinan dan kreativiti belia, gerakan koperasi berdepan risiko jurang pewarisan.
“Ketika ini, kurang 100,000 belia Malaysia terbabit aktif dalam koperasi. Tema persidangan bukan sekadar slogan, sebaliknya seruan bertindak,” katanya.
Beliau turut mengulangi komitmen kerajaan memperkukuh penyertaan belia melalui dasar seperti Dasar Keusahawanan Nasional 2030 dan inisiatif termasuk Protégé, Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) serta Youth Co:Lab.
Persidangan itu turut menyaksikan beberapa pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara koperasi Malaysia dengan rakan kerjasama dari Thailand dan Jepun bagi memperkukuh penerapan teknologi, pembangunan modal insan dan kerjasama serantau.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial