ALOR SETAR, 30 Sept (Bernama) -- MADA Rice Training Center (MRTC) di sini, menerima beberapa kemudahan jentera moden baharu menerusi peruntukan Program Mekanisasi dan Automasi Tahun 2025 berjumlah RM510,000 bagi terus memperkukuh peranannya sebagai pusat latihan utama industri padi negara.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Datuk Dr Ismail Salleh berkata antara jentera diperoleh ialah traktor, jentuai padi dan mesin anak benih yang akan membantu meningkatkan keberkesanan latihan bermula daripada penyediaan tanah hingga penuaian hasil.
“Sebagai satu-satunya pusat bertauliah di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menawarkan bidang Penyeliaan Operasi Pengeluaran Padi, MRTC memainkan peranan penting dalam melahirkan tenaga belia berkemahiran tinggi sejajar dengan keperluan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) dan pertanian moden.
“MRTC akan memastikan setiap pelatih menerima latihan bertauliah yang dapat terus diaplikasikan dalam industri dan sejak penubuhannya pada 2012, MRTC melahirkan 547 pelatih kompeten yang bersedia menyumbang kepada pembangunan sektor padi negara,” katanya pada Majlis Peluncuran Jentera MRTC di Kompleks Latihan MADA Alor Serdang dekat sini hari ini.
Beliau berkata dengan pelaksanaan latihan yang berfokuskan teknologi dan penggunaan fasiliti moden itu, MRTC yakin dapat menarik lebih ramai generasi muda untuk terlibat dalam industri penanaman padi.
Dr Ismail berkata langkah itu akan membantu menyelesaikan kekurangan tenaga kerja mahir dan melahirkan usahawan padi celik teknologi yang mampu menjamin kelestarian serta sekuriti makanan negara.
“Kita mahu perbesar dan meramaikan peserta dalam industri ini tetapi kapasiti dan perbelanjaan adalah terhad… sekarang hanya ada 28 pelatih dan jumlah itu sangat tidak mencukupi, kena ada perbelanjaan besar supaya boleh lahirkan lebih ramai pelatih dalam pertanian padi,” katanya.
Beliau berkata antara pencapaian dan inovasi yang dicapai oleh MRTC ialah pendekatan latihan berasaskan teknologi dengan modul pembelajaran di MRTC menekankan integrasi teknologi moden.
“Pelatih berpeluang menguasai pengoperasian jentera pertanian moden, penggunaan dron untuk kerja membaja serta semburan racun.
“Selain itu MRTC juga mempunyai kemudahan latihan serba lengkap dengan memiliki ladang latihan berkeluasan 3.5332 hektar, dilengkapi kemudahan seperti stesen pam, sistem tali air dan parit lintasan, sekali gus memberikan pengalaman pembelajaran yang realistik dalam ekosistem pertanian sebenar,” katanya.
Beliau berkata MADA yakin MRTC akan terus menjadi pemangkin transformasi industri padi serta dapat melahirkan generasi petani baharu yang celik teknologi, berdaya saing dan inovatif bagi memastikan industri padi negara kekal mampan sekali gus menjamin keterjaminan makanan negara secara berterusan.
Sementara itu, seorang pelatih di MRTC Ahmad Mustaqim Mohamad Mahayudin, 19, dari Gunung Keriang, dekat sini berkata dia menyertai program di situ bermula tahun lepas untuk tempoh selama setahun enam bulan kerana minat yang mendalam dalam sektor pertanian padi.
“Kami perlu belajar selama setahun sebelum mejalani latihan praktikal selama enam bulan… saya sertai program ini atas dasar minat dan nampak pertanian padi ini akan lebih berkembang pada masa hadapan dengan penggunaan teknologi lebih canggih,” katanya.
Mohammad Ezuan Haikal Mohamad Ezuardi, 19, dari Rawang, Selangor pula berkata dia berminat dalam sektor pertanian kerana ada ahli keluarganya turut terlibat dalam penanaman padi di Kelantan.
"Saya lihat program ini memang bagus, ia juga dapat menawarkan pendapatan yang lumayan… selepas habis praktikal, saya akan sambung pengajian lebih tinggi dalam bidang pertanian,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial