Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Pengguna Sering Berulang-alik Puas Hati BUDI95 Beri Penjimatan Kos Bahan Api

30/09/2025 02:53 PM

BUTTERWORTH, 30 Sept (Bernama) -- Pelaksanaan program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) yang menawarkan harga petrol pada kadar RM1.99 seliter dengan had kelayakan 300 liter sebulan, memberi kelegaan kepada pengguna kenderaan yang sering berulang-alik setiap hari.

Seorang kakitangan Tenaga Nasional Bhd (TNB) Zuhda Zakaria, 55, berkata BUDI95 dapat membantu mengurangkan perbelanjaan bulanannya apabila subsidi petrol disalurkan terus kepada pengguna.

“Saya buat pembelian RM50 tetapi di terminal minyak tertera RM65.33, jadi ada perbezaan RM15.33. Ia sangat bagus kerana beri manfaat memandangkan setiap hari saya berulang-alik dari Sungai Dua ke pulau.

Ad Banner
Ad Banner

“Bagi saya apa yang kerajaan buat ini sangat baik. Memang 300 liter itu cukup. Kalau lebih pun tak mengapa, kita bayar sahaja sebab apa yang diberi ini (subsidi petrol) sudah memadai,” katanya ketika ditemui Bernama di sebuah stesen minyak di Sungai Dua di sini hari ini.

Zuhda berkata urusan pembayaran juga mudah dan tidak mengalami masalah ketika melakukan urusan transaksi pembayaran secara tunai.

Sementara itu, Muhammad Hafifi Don, 42, berkata BUDI95 dapat memberikan penjimatan terhadap kos bahan api bulanan kerana pada kebiasaan, beliau mengisi petrol sebanyak RM50 yang bertahan sehingga seminggu tetapi yakin perbelanjaan untuk bahan api itu boleh dikurangkan.

Ad Banner

“Saya menggunakan kereta untuk berulang-alik ke Tasek Gelugor dan sekarang (harga) petrol dah murah jadi mungkin boleh (jimat) lebih lagi dengan jumlah bayaran sama.

“Langkah kerajaan memperkenalkan BUDI95 memberikan kebaikan untuk rakyat terutama yang berpendapatan rendah kerana sedikit sebanyak dapat mengurangkan kos dan beban kewangan,” katanya.

 Sebanyak 16 juta rakyat Malaysia yang layak mula menikmati manfaat inisiatif BUDI95 tepat 12 tengah malam tadi.

Inisiatif itu menetapkan harga petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter berbanding RM2.05 seliter sebelum ini, dengan setiap individu diberi kelayakan hingga 300 liter sebulan.

Pelaksanaan BUDI95 secara berperingkat bermula pada 27 Sept melibatkan kira-kira 300,000 anggota polis dan tentera sebelum diperluas kepada penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dalam kalangan golongan B40 pada hari berikutnya.

BUDI95 menawarkan kaedah transaksi mudah kerana hanya memerlukan Mykad dan lesen memandu sah untuk pengesahan kelayakan secara automatik, manakala pembayaran boleh dibuat mengikut kaedah pilihan sama ada secara tunai, kad kredit atau debit, atau e-dompet.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan