Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

GSC 1 Utama Kembali Dibuka, Tawar Pengalaman Hiburan Baharu Untuk Semua

29/09/2025 04:47 PM

KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) -- Pempamer pawagam terkemuka Golden Screen Cinemas (GSC) secara rasmi membuka semula GSC 1 Utama dengan wajah baharu dan inovasi terkini menampilkan GSC Hong Leong Bank BIG Hall, GSC Hong Leong Bank Prestige Hall dan GSC PlayPark yang menawarkan pengalaman hiburan menyeluruh untuk semua. 

 Pawagam yang dinaik taraf mempunyai 13 dewan dengan kapasiti 1,595 kerusi dan turut menampilkan dewan ScreenX dan 4DX yang menghidupkan filem menerusi gerakan dan bauan serta pemandangan panorama 270 darjah yang dihidupkan pada skrin besar. 

Ketua Pegawai Eksekutif GSC Koh Mei Lee dalam kenyataan hari ini berkata GSC 1 Utama diberikan wajah baharu sebagai hab gaya hidup dinamik dan destinasi sosial yang mencerminkan masa depan pawagam. 

Ad Banner
Ad Banner

“Di GSC, kami komited untuk menyampaikan pengalaman hiburan menyeluruh ke arah masa depan dan merangkumi keterlibatan, seiring dengan trend yang sentiasa bergerak dan menjadi tempat mencipta kenangan. 

“Dalam kerjasama rakan Hong Leong Bank, kami dengan bangga memperkenalkan dua penambahan baharu yang menarik iaitu GSC Hong Leong Bank Prestige Hall dan GSC Hong Leong Bank BIG Hall untuk meningkatkan pengalaman sinematik dengan tawaran premium, di samping format lain yang menawarkan sesuatu untuk semua,” katanya. 

Koh berkata antara tarikan GSC Hong Leong Bank Prestige Hall ialah 30 kerusi baring boleh laras dilengkapi port pengecasan USB, akses ke ruang peribadi istimewa dan kombo bertih jagung percuma untuk setiap tiket.

Penonton juga boleh memesan snek ringan dan minuman terus dari tempat duduk dengan mengimbas kod respons pantas (QR). 

 GSC Hong Leong Bank BIG Hall menawarkan 73 kerusi baring boleh laras, projektor 4K dan sistem bunyi sekitar Dolby Atmos yang sesuai untuk peminat filem aksi.  

Untuk ibu bapa, GSC PlayPark menggabungkan pengalaman menonton filem yang mesra keluarga dengan masa bermain yang menyeronokkan di kawasan permainan, selain mempunyai kemudahan bilik menyusu, bilik persalinan bayi dan tandas mesra kanak-kanak. 

Sementara itu, Pengarah Urusan Perkhidmatan Kewangan Peribadi Hong Leong Bank Andrew Jong menekankan komitmen bank itu dalam menyediakan pengalaman pelanggan yang pelbagai dan menyokong industri kreatif. 

“Sebagai bank yang mengutamakan pelanggan, kami berhasrat menyediakan produk perbankan yang direka khas dan pengalaman yang diperibadikan kepada pelanggan. Prinsip ini membawa kami ke arah menyokong industri kreatif, dengan Kad Kredit GSC HLB dan kerjasama kami dengan Festival Filem Antarabangsa Malaysia baru-baru ini menjadi contoh utama kepada komitmen tersebut. 

“Kami melihat diri kami sebagai rakan kongsi dalam memperjuangkan keperluan dan minat pelanggan, dan menerusi sokongan kepada industri melalui inisiatif seperti GSC Hong Leong Bank BIG Hall, kami menzahirkan komitmen untuk mencetuskan kreativiti dan inovasi yang akan membentuk masa depan landskap budaya Malaysia,” katanya. 

Melalui kerjasama dengan GSC, Hong Leong Bank menawarkan promosi eksklusif kepada pemegang kad termasuk diskaun RM6 untuk setiap tiket dibeli dalam talian, potongan 30 peratus untuk snek serta bertih jagung percuma seiring kempen Kids Eat Free.

Untuk maklumat lanjut dan promosi terkini, orang ramai boleh mengikuti platform media sosial rasmi GSC.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan