Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Negeri Sembilan Sasar Jadi Hab Eksport Buah-buahan Tempatan, Makanan Ternakan

29/09/2025 02:14 PM

SEREMBAN, 29 Sept (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sembilan sedang merangka strategi jangka panjang bagi memperkasa sektor pertanian dengan menumpukan kepada penanaman buah-buahan dan tanaman bijirin berskala besar untuk menjadi hab utama eksport hasil pertanian tempatan ke pasaran antarabangsa.

EXCO kanan kerajaan negeri Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata inisiatif itu bakal memberi impak besar kepada ekonomi tempatan melalui penghasilan buah-buahan seperti nanas, durian dan nangka selain tanaman bijirin seperti jagung yang bukan sahaja memenuhi keperluan tempatan tetapi juga berpotensi besar untuk dieksport.

"Kawasan seperti Londah, Gemas dikenal pasti berpotensi tinggi sebagai tapak permulaan dengan keluasan 40 hektar untuk pembangunan kawasan pembenihan jagung bijirin.

Ad Banner
Ad Banner

"Selain padi, lokasi ini juga sangat sesuai untuk tanaman jagung... kita akan perluas ke semua daerah secara berperingkat mengikut kesesuaian kawasan penempatan... kita juga akan buat zoning bagi memupuk aktiviti penanaman dalam kalangan masyarakat," katanya kepada pemberita baru-baru ini.

Beliau berkata kerajaan negeri juga memberi tumpuan kepada pengeluaran durian berkualiti tinggi khususnya di daerah Jelebu yang kini mempunyai hampir 10,000 hektar kawasan penanaman raja buah itu.

Jalaluddin juga berkata kerajaan negeri sedang menjalin kerjasama strategik dengan beberapa pihak swasta termasuk rakan usahasama dari Guangzhou, China dalam usaha memperluas pasaran eksport durian.

Ad Banner

"Ketika saya ke China tahun lepas, saya merasmikan satu outlet Durian Jelebu di bandar Guangzhou. Walaupun buah itu disejuk beku... kualiti dan rasa tetap kekal… di sana, sebiji durian boleh dijual antara RM180-RM200... ini adalah peluang yang perlu direbut," katanya.

Beliau berkata keperluan durian di China ketika ini masih kurang daripada lima peratus berbanding keseluruhan permintaan negara itu dan ini membuka ruang besar untuk pengusaha tempatan meningkatkan pengeluaran.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup negeri itu turut menekankan kepentingan mempelbagaikan jenis buah-buahan kerana durian adalah tanaman bermusim.

"Kita perlu galakkan penanaman buah-buahan lain agar pendapatan petani tidak bergantung hanya kepada musim durian... usaha ini akan diperkukuh melalui kerjasama strategik dan perancangan kawasan tanaman mengikut potensi setempat," katanya.

Beliau berkata menerusi pelaksanaan pelan jangka panjang itu, Negeri Sembilan diyakini mampu melonjak sebagai antara negeri pengeluar dan pengeksport utama buah-buahan serta produk makanan ternakan tempatan di rantau ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan