JOHOR BAHRU, 26 Sept (Bernama) -- Lebih 80 peratus katil di Hospital Sultanah Aminah (HSA) telah diganti baharu hasil inisiatif kerajaan negeri serta orang ramai termasuk syarikat sosial dan pertubuhan kebajikan.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Ling Tian Soon berkata 1,000 katil baharu diperoleh dengan 830 daripadanya telah dihantar ke hospital berkenaan, yang keseluruhan mempunyai 1,206 katil.
“Sasaran asal kita adalah untuk mengumpul 969 buah katil bagi HSA dan ini telah melepasi jangkaan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berkata penggantian katil baharu besar-besaran itu yang antaranya melibatkan wad kanak-kanak, turut menerima maklum balas yang positif daripada petugas kesihatan dan orang ramai.
"Pesakit turut menyedari perbezaannya, mereka berterima kasih kerana kini dapat berehat dalam persekitaran yang lebih selesa dan bersih," katanya.
Dalam pada itu, Ling berkata kerja menaik taraf wad di tingkat lima bangunan induk HSA telah siap sepenuhnya, dengan penyerahan projek dijadual pada Ahad ini.
"Wad baharu ini lebih terang, luas, dan selesa lengkap dengan sistem pendawaian elektrik serta bekalan oksigen yang baharu," katanya.
Beliau berkata kerja naik taraf seterusnya akan turut dilakukan selepas ini dan pesakit dari wad lain akan dipindahkan ke wad di tingkat lima tersebut.
Ling berkata bagi memberi laluan kepada kerja-kerja naik taraf, empat wad melibatkan 117 buah katil terpaksa dihentikan operasi buat sementara dan situasi itu menyebabkan berlaku kekurangan katil.
Bagaimanapun, beliau berkata pihak hospital telah mengambil langkah segera dengan menambah katil di wad sedia ada serta menggunakan ruang lain bagi menempatkan katil tambahan.
“Justeru, diharapkan orang ramai dapat bersabar dan memahami keadaan tersebut dalam memastikan hospital tampil dengan wajah baharu sekali gus memberikan perkhidmatan berkualiti kepada pesakit,” katanya.
--BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial