KOTA BHARU, 25 Sept (Bernama) -- Seorang bayi perempuan yang dibawa keluar tanpa kebenaran dari Wad Pediatrik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) berjaya ditemui dalam keadaan selamat bersama ibunya di sebuah rumah di sini pada Selasa lepas.
Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan Datuk Dr Zaini Hussin berkata insiden itu berlaku pada 6.40 petang Ahad, sebelum pihak hospital segera mengaktifkan “Kod Pink” sebagai langkah kecemasan.
“Hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati sepasang individu membawa keluar bayi berkenaan, laporan polis dibuat dan pencarian dalaman digerakkan dengan bantuan pasukan keselamatan.
"Lawatan bersama Pejabat Kesihatan Daerah Kota Bharu dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Selasa lepas berjaya mengesan bayi itu bersama ibunya yang berusia 29 tahun. Pemeriksaan kesihatan mendapati kedua-duanya berada dalam keadaan stabil," katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr Zaini merakamkan penghargaan kepada PDRM atas tindakan pantas serta kerjasama erat dalam memastikan keselamatan bayi berkenaan.
Beliau berkata pihak hospital juga akan mengambil tindakan sewajarnya mengikut prosedur operasi standard bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang.
Beliau berkata siasatan awal mendapati bayi tersebut dilahirkan di rumah sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut, namun sehari kemudian bayi itu dikesan dibawa pulang oleh sepasang individu sebagaimana dirakam CCTV hospital.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial