Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Porsche Jenama Mewah Paling Tinggi Tertunggak Cukai Jalan - Loke

24/09/2025 04:19 PM

PUTRAJAYA, 24 Sept (Bernama) -- Menteri Pengangkutan Anthony Loke hari ini mendedahkan lima jenama kenderaan mewah yang berada dalam data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) merekodkan tunggakan cukai jalan hampir RM35.7 juta.

Beliau berkata berdasarkan data JPJ, Porsche mencatatkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak 4,308 unit kenderaan dengan tunggakan cukai jalan berjumlah RM13.7 juta.

Empat lagi jenama membabitkan Ferrari dengan 675 unit dengan tunggakan  RM4.7  juta, diikuti Bentley (660 unit, RM7 juta), Lamborghini (372 unit, RM3.7 juta) dan Rolls-Royce (345 unit, RM6.4 juta).

Ad Banner

“Angka ini menunjukkan masih terdapat ramai pemilik kenderaan mewah yang gagal melaksanakan tanggungjawab memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM).

“Dalam kalangan ini, memang ada orang-orang kenamaan, ada bergelar Tan Sri, orang politik, ahli perniagaan. Saya mohon mereka supaya menjalankan tanggungjawab (bayar cukai jalan),” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Loke berkata terdapat pemilik kenderaan mewah sengaja menunggu sehingga kenderaan disita kerana menganggap bayaran saman RM300 lebih berbaloi berbanding memperbaharui cukai jalan yang bernilai puluhan ribu ringgit setahun.

Menurut beliau, cukai jalan kereta mewah mencecah antara RM15,000 hingga RM30,000 setahun bergantung kepada jenis dan spesifikasi kenderaan.

Sebelum ini, seorang artis ditahan kerana tidak membayar cukai jalan dan memberi alasan lupa walaupaun tunggakan sudah mencecah hampir tiga tahun.

Justeru, Loke berkata jika trend sebegini masih berterusan, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengenakan tindakan lebih drastik terhadap pemilik kenderaan mewah yang masih enggan memperbaharui cukai jalan mereka.

Beliau berkata dalam tempoh beberapa bulan ini, JPJ telah melaksanakan Ops Luxury dan menyita 421 kenderaan mewah didapati tidak mempunyai cukai jalan dan insurans sah, yang bertujuan memberi mesej jelas kepada masyarakat bahawa setiap pemilik kenderaan mempunyai tanggungjawab memperbaharui LKM serta insurans kenderaan mereka.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan