PAPAR, 16 Sept (Bernama) -- Cuti semester kali ini memberi pengalaman baharu tidak dijangka bagi seorang pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) apabila buat pertama kali terpaksa berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) selepas kediaman keluarganya di Kampung Kinarut Tengah, dekat sini, dinaiki air akibat hujan lebat berterusan sejak Sabtu lepas.
Nurul Izzati Ridzwan, 18, berkata keluarganya mengambil keputusan untuk berlindung di PPS Dewan Lok Kawi Height setelah melihat keadaan banjir semakin teruk dan khuatir mengancam keselamatan.
"Saya belajar di UMS dan sekang sedang bercuti, tidak sangka pula banjir teruk. Sebelum ini rumah pernah dinaiki air tapi tidaklah seteruk seperti semalam.
"Awalnya kami fikir hanya dipindahkan ke masjid saja tetapi tidak sangka air naik mendadak. Jadi terpaksa berpindah ke sini sebab masjid pun banjir. Kami pilih dipindahkan ke PPS kerana lebih selamat," katanya ketika ditemui Bernama di PPS itu hari ini.
Setakat 12 tengah hari tadi, 224 orang daripada 65 keluarga di Papar berlindung di empat PPS yang dibuka bagi menempatkan mangsa banjir dan tanah runtuh di daerah itu.
Jumlah penduduk berlindung di Dewan Lok Kawi Height yang dibuka pada 5 petang semalam sebanyak 82 orang daripada 25 keluarga.
Nurul Izzati turut memuji agensi penyelamat bertugas yang bertindak pantas dan cekap dalam membantu proses memindahkan penduduk ke PPS.
Peniaga kecil, Mohd Nur Suffian Mohd Yusof, 43, pula berkata dia akur dengan arahan dan nasihat agensi keselamatan supaya berpindah ke PPS bagi memastikan keselamatan keluarga terutama tiga anaknya yang berumur 16 hingga tiga tahun.
“Sebelum ini banyak kali juga rumah dinaiki air tapi ini kali pertama kami memutuskan untuk berpindah ke PPS selepas melihat air mencecah paras pinggang. Kami ikut dan terima arahan kerana memikirkan keselamatan anak-anak," katanya yang tinggal di Kampung Seri Menanti, Kinarut.
Sementara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata keutamaan sekarang adalah menghantar bekalan makanan kepada penduduk yang terputus hubungan.
“Mereka yang berdepan banjir serta risiko tanah runtuh juga dikeluarkan segera dari kawasan terbabit untuk ditempatkan di PPS disediakan di Papar,” katanya.
Ahli Parlimen Papar itu turut menasihati penduduk supaya tidak menunggu hingga saat akhir untuk berpindah ke PPS sekiranya hujan berterusan dan kediaman mereka terutama yang terletak di cerun bukit berdepan risiko tanah runtuh.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial