Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

"Reskilling", "Upskilling" Pensyarah PolyCC Perkukuh Bidang TVET Negara

14/09/2025 09:27 PM

JASIN, 16 Ogos (Bernama) -- Usaha memperkasakan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) selaras dengan agenda pembangunan negara terus diperkukuh menerusi pelaksanaan program reskilling dan upskilling pensyarah Politeknik dan Kolej Komuniti (PolyCC).

Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Datuk Dr Mohd Zahari Ismail berkata inisiatif itu turut merangkumi program sabatikal industri yang memberi pendedahan langsung kepada teknologi serta amalan semasa industri.

"Langkah itu membuktikan kesungguhan PolyCC memastikan kaedah pengajaran kekal relevan dan seiring dengan keperluan industri.

Ad Banner

“Program sabatikal industri memberi peluang pensyarah memperoleh pengalaman sebenar di lapangan industri sekali gus meningkatkan kualiti pengajaran dan keyakinan majikan terhadap graduan TVET,” katanya ketika berucap menyempurnakan Istiadat Konvokesyen ke-23 Politeknik Merlimau Melaka (PMM) di sini hari ini.

Beliau turut merakamkan tahniah kepada PMM yang mencatat pencapaian cemerlang apabila memperoleh Dana Trans-Tech 4TVET berjumlah RM188,235 selain menerima Anugerah PolyCC Berprestasi Tinggi berserta insentif RM22,500, serta Sijil Penghargaan Kriteria Penyediaan Latihan Peningkatan Industri dalam kategori Politeknik Konvensional.

Sementara itu, Pengarah PMM Norizam Sekak berkata kebolehpasaran graduan PMM terus berada pada tahap cemerlang apabila 86.4 peratus graduan memperoleh pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian.

Ad Banner

Beliau berkata daripada jumlah itu sebanyak 63.1 peratus berjaya mendapat pekerjaan sepadan bidang pengajian, 11.3 peratus memilih menjadi usahawan manakala 13.6 peratus melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Ini membuktikan bahawa 100 peratus graduan PMM mempunyai masa depan terjamin, sama ada sebagai tenaga kerja mahir, usahawan atau penyelidik.

"Pencapaian ini turut diperkuat dengan sistem MeritKITA yang menilai keseimbangan akademik dan kokurikulum pelajar, selain pelaksanaan program TVET on Campus (ToC) dan Polytechnic Social Responsibility (PSR) yang menerima maklum balas positif industri," katanya.

Beliau berkata PMM juga mencatat kejayaan besar apabila menerima Anugerah Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) pada Anugerah MQA 2025, selain memperoleh geran penyelidikan bernilai RM380,560 sepanjang 2024-2025 termasuk projek pengkomersialan produk mesra alam Nucifera Body Scrub.

"PMM turut beriltizam menjadikan TVET berdaya maju melalui pembangunan Kampus Hijau dengan pemasangan solar bumbung, pewujudan Pusat Keusahawanan Digital bersama Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) serta perancangan Artificial Intelligent Digital Centre (AIDEx) bagi mempergiat agenda kampus digital," katanya.

Sebanyak 1,398 graduan menerima penganugerahan Diploma sempena Istiadat Konvokesyen PMM kali ke-23 yang diadakan selama dua hari di Dewan Platinum Politeknik Merlimau.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan