Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Kanser Limfoma: Peluang Sembuh Tinggi Jika Dikesan Awal

03/09/2025 10:07 PM

KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) -- Peluang sembuh daripada kanser Limfoma adalah tinggi dengan kadar kesembuhan mencapai 80 peratus, malah hingga 70 peratus bagi kes tahap 4, kata Pakar Perunding Hematologi dan Pakar Perubatan Transplan dari Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway Dr Hon Siong Leng (she).

Dr Hon berkata Limfoma sejenis kanser darah yang menyasarkan limfosit, iaitu sejenis sel darah putih penting yang bertanggungjawab melindungi tubuh daripada sebarang jangkitan seperti bakteria dan virus.

“Limfoma terbentuk apabila berlaku mutasi pada limfosit normal yang menyebabkan ia berubah menjadi sel kanser tidak normal. Sel-sel ini berkembang dengan cepat dan mempunyai jangka hayat lebih panjang daripada limfosit biasa. Ia kemudian merebak melalui sistem darah dan limfa, dan akhirnya membiak pada pelbagai bahagian badan seperti nodus limfa, limpa, sumsum tulang, serta organ-organ lain.

Ad Banner

“Akibatnya, pesakit yang menghidap limfoma biasanya akan menunjukkan pembengkakan nodus limfa tanpa rasa sakit atau kiraan darah yang tidak normal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Hon berkata individu dengan limfoma juga mengalami pelbagai gejala, termasuk demam berpanjangan tanpa sebab yang jelas, dengan suhu badan melebihi 39.5 darjah, penurunan berat badan yang tidak dijangka, ruam atau kegatalan pada kulit serta peluh pada waktu malam yang luar biasa.

Limfoma terbahagi kepada dua kategori utama, iaitu Limfoma Bukan Hodgkin (NHL) dan Limfoma Hodgkin (HL) dan berdasarkan laporan Globocan pada 2022, NHL menduduki tempat ke-10 di seluruh dunia berbanding jenis kanser lain, iaitu 553,389 kes dengan 250,679 kematian dicatatkan pada tahun berkenaan.

Sementara itu, di Malaysia limfoma ialah kanser keempat paling lazim dan ketujuh penyebab utama kematian disebabkan kanser.

Dr Hon berkata HL lazimnya didiagnosis pada golongan belia, manakala NHL lebih kerap berlaku dalam kalangan orang lebih berusia dan mempunyai banyak subjenis, termasuk limfoma sel B dan limfoma sel T.

“Risiko untuk menghidap limfoma lebih tinggi apabila usia meningkat, terutamanya NHL, dengan umur median diagnosis ialah 67 tahun. Di Malaysia, NHL ialah kanser keenam paling lazim dalam kalangan lelaki dan kanser kelapan paling tinggi bagi golongan wanita,” jelasnya.

Selain faktor usia, individu yang mempunyai sistem imun yang lemah turut berisiko tinggi untuk menghidap limfoma, contohnya mereka yang menghidapi jangkitan virus seperti HIV dan Epstein-Barr (EBV), atau mereka yang mempunyai sejarah keluarga dengan penyakit yang sama.

Pendedahan kepada bahan kimia berbahaya seperti benzena, racun perosak dan glifosat juga meningkatkan risiko, malah individu yang pernah menjalani rawatan kemoterapi atau radioterapi bagi kanser lain turut berpotensi menghidap limfoma pada masa hadapan.

Bagaimanapun, Dr Hon menegaskan bahawa pengesanan dan intervensi awal boleh mencegah serta meningkatkan peluang pesakit untuk pulih.

“Limfoma ialah musuh yang hebat, tetapi dengan pengesanan awal, rawatan yang tepat dan sokongan yang utuh ia boleh dilawan,” katanya.

Rawatan limfoma berbeza mengikut jenis, peringkat dan tahap keagresifan kanser, manakala pilihan rawatan termasuk imunokimoterapi, terapi sinaran, terapi sasaran, pemindahan sel stem atau sumsum tulang autologus dan teknologi terkini seperti terapi sel T reseptor antigen kimerik (CAR-T).

“Justeru, adalah penting bagi seseorang pesakit untuk berbincang dengan doktor pakar bagi merancang pelan rawatan terbaik,” katanya sambil menekankan bahawa kesihatan mental dan fizikal pesakit juga perlu diberi perhatian sepanjang porses rawatan. 

Beliau berkata engambilan diet seimbang termasuk protein tanpa lemak, bijirin penuh dan produk tenusu penuh lemak, mengelakkan pengambilan ubat-ubatan tradisional yang boleh mengganggu rawatan moden, melakukan aktiviti seperti senaman pernafasan dan meditasi dapat membantu mengurangkan tekanan semasa rawatan.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan