Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

KKM Terima 91 Unit Ambulans Secara Berperingkat - Lukanisman

03/09/2025 03:19 PM

KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) kini dalam proses menerima 91 unit ambulans Type B melalui kaedah perolehan luar kontrak, selaras dengan kelulusan khas Kementerian Kewangan.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata mengambil kira kepentingan perkhidmatan awam serta keperluan mendesak terhadap kemudahan kecemasan, ambulans berkenaan akan diagihkan secara berperingkat kepada fasiliti kesihatan di seluruh negara.

Beliau berkata berdasarkan rekod semasa, sebanyak 1,773 atau 89.8 peratus daripada keseluruhan 1,975 ambulans KKM telah berusia lebih enam tahun. Sehubungan itu, perolehan ambulans baharu sentiasa dilaksanakan bagi menggantikan kenderaan yang dilupuskan dan tidak lagi ekonomi untuk dibaiki.

Ad Banner

“Pada 31 Julai 2025, kementerian telah memulakan proses perolehan ambulans baharu dengan anggaran sebanyak 925 unit ambulans Type B.

“Bagi memastikan pembekalan ambulans dapat dilaksanakan mengikut jadual, kementerian menetapkan perolehan dibuat mengikut enam zon iaitu Sabah/Labuan, Sarawak, Tengah, Selatan, Utara dan Timur,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Dr R.A. Lingeshwaran mengenai penyerahan ambulans baharu kepada hospital dan klinik kesihatan, serta jumlah ambulans yang berusia melebihi enam tahun atau mempunyai jarak perjalanan lebih 200,000 kilometer pada sesi soal jawab Dewan Negara hari ini.

Ad Banner

Selain itu, Lukanisman berkata KKM turut menetapkan kaedah perolehan lebih terbuka, di mana pembekal diberi pilihan mengemukakan cadangan sama ada dalam bentuk Completely Knocked Down (CKD) atau Completely Built-Up (CBU).

“Semua cadangan ini akan dinilai secara teliti berdasarkan tawaran yang dikemukakan serta keupayaan sebenar pembekal memenuhi keperluan perkhidmatan kesihatan negara.

“Dengan langkah ini, kementerian berharap isu kelewatan yang berlaku sebelum ini tidak berulang dan pembekalan ambulans dapat dilaksanakan tepat pada masanya demi kepentingan rakyat,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Senator Abun Sui Anyit sama ada kerajaan berhasrat menggunakan ambulans pacuan empat roda di kawasan pedalaman, Lukanisman berkata KKM telah membekalkan 46 unit ambulans jenis itu.

“Kita cadangkan dalam pembekalan 925 unit nanti, akan turut disediakan ambulans pacuan empat roda yang diubah suai. Pada masa sama, kita menggalakkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk menyumbang ambulans kepada KKM mengikut spesifikasi.

“Bagi Sabah, Sarawak dan negeri seperti Perak, Kelantan dan Johor, pembekalan ambulans pacuan empat roda akan diutamakan bagi memastikan keselesaan serta memudahkan pemindahan pesakit,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan