Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Memorandum Sokong RUU PSB Cermin Aspirasi Penduduk Mahu Kediaman Selamat, Selesa - Nga

27/08/2025 05:50 PM

KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Memorandum berkaitan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) yang diterima Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, hari ini mencerminkan aspirasi penduduk yang mahukan perumahan lebih selamat dan selesa.

Nga berkata rombongan yang menyerahkan memorandum itu terdiri daripada penduduk rumah pangsa uzur dan bermasalah di sekitar Lembah Klang, yang mengharapkan kawasan perumahan mereka dapat dibangunkan semula melalui RUU berkenaan selepas diluluskan.

“Kerajaan menghormati hak untuk bersuara termasuk bantahan seperti semalam, tetapi kita juga perlu meneliti harapan mereka yang mahukan kehidupan yang lebih selesa,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini. 

Terdahulu, hampir 100 penduduk berbilang kaum termasuk dari Desa Bakti, Selayang dan Flat Taman Maluri, Cheras menyerahkan memorandum tersebut.

Nga berkata penduduk menyifatkan RUU itu memberi sinar harapan baharu setelah bertahun-tahun berdepan isu projek terbengkalai, pengurusan penyelenggaraan yang lemah serta kemerosotan kualiti kemudahan awam di kawasan perumahan mereka.

“Sekumpulan penduduk dari Taman Sri Endah, Sri Petaling berkata rumah pangsa mereka yang berusia lebih 40 tahun itu sering mengalami kebocoran atap yang menyebabkan tangga menjadi licin.

Ad Banner

“Ini secara tidak langsung menjadikan pergerakan harian berisiko terutamanya bagi golongan warga emas apabila hujan,” katanya menambah penduduk lain turut membangkitkan masalah penyelenggaraan, kemudahan awam yang tidak selamat dan kondusif serta keadaan bangunan yang semakin merisaukan.

Nga berkata memorandum itu menyatakan RUU PSB merupakan langkah strategik untuk menaik taraf infrastruktur dan kemudahan awam yang semakin usang, serta menggesa agar pembangunan semula dipercepatkan.

Beliau menegaskan pihak berkenaan juga menuntut proses pembaharuan berasaskan komuniti yang memelihara identiti sosial dan sejarah setempat, dilaksanakan secara telus dan inklusif, dengan pampasan adil serta perlindungan kepada golongan berpendapatan rendah.

Selain itu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memberi jaminan Tanah Rizab Melayu tidak akan terjejas dan pampasan diberikan adalah adil berdasarkan harga pasaran terkini.

Setakat 25 Ogos lalu, KPKT melalui Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) telah mengadakan 108 sesi libat urus bersama penduduk, pihak berkepentingan dan Ahli Parlimen serta melaksanakan lawatan tapak ke kawasan kediaman strata uzur bagi menunjukkan keperluan sebenar akta ini diluluskan.

Ketua Pengarah PLANMalaysia Datuk Dr Alias Rameli berkata PLANMalaysia turut mengadakan libat urus melalui Majlis Negara Kerajaan Tempatan (MNKT) untuk mendapatkan pandangan pihak berkuasa negeri mengenai RUU itu.

Beliau berkata MNKT yang turut melibatkan empat negeri SG4 iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis itu dilaksanakan selaras dengan Perkara 95A Perlembagaan Persekutuan.

“Di bawah Perkara 95A, kerajaan Persekutuan wajib berunding dengan kerajaan negeri mengenai dasar kerajaan tempatan. Kami telah memberi peluang kepada kerajaan negeri untuk mengemukakan pandangan mereka. 

“Sebahagian pandangan itu telah diambil kira dan dimasukkan dalam RUU PSB, termasuk tanggungjawab berkaitan mengenal pasti tapak, yang berada di bawah kuasa negeri dengan bantuan pihak berkuasa tempatan,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Beliau menegaskan kuasa untuk mengisytiharkan dan mewartakan tapak bagi pelaksanaan projek PSB adalah 100 peratus di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, kecuali di kawasan Wilayah Persekutuan.

RUU PSB dijangka dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat esok, bertujuan memastikan kawasan perumahan lama yang uzur, daif dan usang dapat dibangunkan semula secara lebih terancang, adil dan inklusif demi kesejahteraan rakyat serta pembangunan bandar yang mampan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan