PUTRAJAYA, 27 Ogos (Bernama) -- Dataran Putrajaya pagi ini bergema dengan sorakan dan kibaran Jalur Gemilang apabila ribuan peserta serta penonton bersama-sama menyemarakkan semangat patriotik semasa raptai sambutan Hari Kebangsaan 2025.
Seawal 6 pagi, kawasan sekitar sudah dipenuhi peserta terdiri daripada pelajar sekolah, pasukan beruniform, penari kebudayaan, pancaragam dan anggota keselamatan yang tampil dengan penuh semangat dan warna-warni.
Sorakan penonton yang hadir memeriahkan lagi suasana sekitar Dataran Putrajaya sekali gus meniup semangat perpaduan menjelang sambutan rasmi pada 31 Ogos ini.
Bagi anggota Tentera Darat Malaysia, Sarjan Norjan Nazir penyertaan dalam perarakan ini dianggap penghormatan besar kerana pengalaman berbaris di hadapan ribuan rakyat , meskipun hanya di peringkat raptai tetap memberi makna mendalam sebagai simbol keyakinan serta kebanggaan pasukan pertahanan negara.
"Setiap langkah yang kami atur adalah tanda kesetiaan dan kecintaan kepada tanah air, dan saya berharap semangat ini dapat dirasai oleh semua yang menyaksikan," katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.
Bagi pelajar Tingkatan Dua, Amirah Maisarah Mohd Nor Jairi, 14, pengalaman menyertai perbarisan buat kali pertama menjadi kenangan berharga yang tidak mungkin dilupakan apatah lagi apabila diberi peluang membawa Jalur Gemilang di hadapan ribuan penonton.
Raptai kali ini turut diserikan dengan kemunculan beberapa kontinjen baharu termasuk kontinjen Kepengerusian ASEAN 2025, kontinjen Tahun Melawat Malaysia 2026 dan kontinjen Penyiaran serta Industri Kreatif, yang menambah kelainan serta mencerminkan peranan Malaysia di pentas antarabangsa.
Selain perarakan kontinjen, penonton turut disajikan dengan penampilan aset kenderaan tempatan serta kenderaan elektrik (EV) pemasangan tempatan di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), sebagai simbol kemajuan teknologi hijau dan kebanggaan industri negara.
Sorakan penonton semakin gamat ketika persembahan grafik manusia dan koir oleh 2,000 pelajar dari 50 sekolah menengah dengan mesej perpaduan yang dizahirkan melalui lagu patriotik.
Acara kemuncak raptai turut memukau penonton dengan persembahan khas lebih 1,000 peserta yang menampilkan kepelbagaian budaya negara menerusi pakaian berwarna-warni, gandingan muzik tradisional dan sorakan gemuruh yang menghidupkan aura kemerdekaan.
Seorang penonton, Rosnah Ahmad, 55, sanggup datang dari Seremban seawal subuh untuk merasai sendiri suasana raptai di Dataran Putrajaya yang dipenuhi aura Merdeka dan semangat para peserta.
"Saya terharu tengok semangat anak muda kita, rasa berbaloi datang. Perjalanan jauh pun tidak terasa bila dapat merasai sendiri suasana penuh patriotik ini," katanya.
Raptai penuh sambutan akan berlangsung dari 27 hingga 29 Ogos bermula 6.30 pagi hingga 12 tengah hari, melibatkan penutupan jalan raya di sekitar kawasan 'core island' Putrajaya bagi memberi ruang kepada persiapan akhir menjelang Hari Kebangsaan.
Dengan tema Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni, raptai tersebut membuktikan bahawa sambutan Hari Kebangsaan bukan sekadar acara tahunan tetapi medan penyatuan rakyat yang meraikan kepelbagaian serta semangat cintakan negara.
Pada 22 Ogos lepas, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa dilapor berkata acara itu akan menghimpunkan 83 kontinjen dengan penyertaan lebih 13,000 peserta, 515 aset serta 116 ekor haiwan dan 78 kenderaan.
Acara berkenaan bakal menampilkan persembahan udara daripada Tentera Udara Diraja Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Polis Diraja Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial