KOTA KINABALU, 24 Ogos (Bernama) -- Program Geran Digital PMKS MADANI (GDPM) Fest 2025 mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam sektor kesihatan di Sabah tidak ketinggalan daripada arus kemajuan teknologi.
Menurut kenyataan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), program GDPM bermatlamat memperkasakan penerapan penyelesaian teknologi masa hadapan dalam kalangan PMKS Sabah bagi membentuk ekosistem penjagaan kesihatan yang lebih cekap dan inklusif bagi mempersiapkan mereka dalam menghadapi cabaran mendatang.
“Pemilihan Sabah sebagai satu lokasi GDPM Fest 2025, destinasi terakhir selepas Johor dan Pahang didorong oleh potensi serta daya saing komuniti tempatan yang unik serta kedudukannya sebagai negeri pemangkin kesihatan masa hadapan,” menurut kenyataan itu di sini hari ini.
Program GDPM Fest 2025 dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi) Kementerian Komunikasi Mano Verabathran.
Menurut MCMC, GDPM Fest 2025 adalah untuk membawa inisiatif kepada akar umbi melalui pendekatan yang lebih dekat dengan komuniti perubatan dan usahawan kesihatan tempatan.
MCMC turut bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi meningkatkan kesedaran berkaitan Guideline on Online Healthcare Services (OHS), satu usaha penting dalam memastikan penggunaan platform kesihatan masa hadapan yang selamat, bertanggungjawab dan beretika.
“MCMC yakin kerjasama dengan pelbagai rakan strategik dapat membantu menyatukan peranan sektor awam dan swasta dalam memperkukuh ekosistem kesihatan negara selain mengubah pengalaman penjagaan kesihatan rakyat Sabah,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial