Ad Banner
 AM > BERITA

Penjenamaan TH: Syarikat Dilantik Dapat Kelulusan Lembaga Pengarah

18/08/2025 08:41 PM

KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Syarikat yang dilantik bagi projek penjenamaan Lembaga Tabung Haji (TH) merupakan gabungan konsortium terdiri daripada empat syarikat tempatan berpandukan kepakaran dan kebolehan selari dengan keperluan kerja penjenamaan tersebut, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Beliau berkata konsortium itu dianggotai golongan profesional berbilang kaum dan pemilihan syarikat berkenaan telah mendapat kelulusan menerusi kaedah dan tadbir urus perolehan TH yang dikawal selia oleh Lembaga Pengarah.

“Sejak 1963, TH telah melakukan semakan penjenamaan sebanyak tiga kali iaitu pada tahun 1969, 1995 dan 2009. TH sentiasa mendukung amalan tadbir urus korporat terbaik dan mematuhi segala polisi serta proses perolehan.

“TH sentiasa mengutamakan syarikat bumiputera di bawah polisi perolehannya iaitu pada tahun lepas, 81 peratus daripada vendor dilantik TH adalah syarikat bumiputera melibatkan 70 peratus daripada jumlah perbelanjaan TH,” katanya ketika menggulung perbahasan usul Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat hari ini. 

Bagi projek penjenamaan itu, Mohd Na’im berkata TH mengesahkan kos menggunakan perunding ialah RM5.9 juta untuk tiga tahun dan bukannya RM20 juta seperti yang didakwa.

Sementara itu, Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) diarah keluar dewan selama dua hari bermula hari ini susulan tindakannya tidak mematuhi arahan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Alice Lau Kiong Yieng ketika sesi penggulungan itu.

Ketika Mohd Na’im mengulas isu penglibatan syarikat bukan bumiputera bagi program penjenamaan TH, Ahmad Marzuk berulang kali bangun bertanyakan soalan sehingga mengganggu sesi.

Lau pada awalnya meminta Ahmad Marzuk berehat 30 minit di luar dewan bagaimanapun Ahli Parlimen itu melakukan provokasi justeru menyebabkan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat itu mengarahkan bentara membawa wakil rakyat berkenaan keluar daripada dewan.

“Saya sudah beri setengah jam untuk keluar dan masuk balik selepas itu... tapi Yang Berhormat masih berucap tanpa kebenaran…. jadi Yang Berhormat mahu dua hari ke (keluar dewan)? okey, teruskan dua hari (keluar dewan),” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan