Ad Banner
 AM > BERITA

Nurul Fathira Zahir Semangat Patriotisme Menerusi Kesukarelawanan

18/08/2025 04:40 PM

Oleh Rozlin Rusharmeen Rosmin

KUCHING, 18 Ogos (Bernama) -- Kesibukan di bilik kuliah tidak pernah menghalang seorang pensyarah muda dari Miri menzahirkan cintanya kepada negara dengan turun padang demi membantu masyarakat terpinggir.

Bagi Nurul Fathira Anisa Jimali, 28, semangat patriotisme bukan sekadar mengibarkan Jalur Gemilang atau berdiri tegak ketika lagu Negaraku berkumandang, malah ia juga dizahirkan melalui tindakan membantu rakyat Malaysia, khususnya golongan yang kurang bernasib baik.

Minatnya terhadap aktiviti kemasyarakatan tidak muncul secara tiba-tiba atau dipaksa rakan sebaya, sebaliknya lahir daripada rasa ingin tahu untuk melihat sendiri realiti kehidupan di luar lingkungannya.

“Saya mula minat dan ingin tahu mengenai kerja sukarelawan semasa di bangku sekolah lagi sebelum bergiat aktif secara serius sewaktu menuntut di universiti.

“Dari awal lagi saya tak mahu hanya sekadar berjalan-jalan untuk melihat dunia luar. Saya mahu faham bagaimana orang lain hidup dan apa cabaran mereka, dari situ saya mula mencari peluang untuk menjadi sukarelawan menerusi Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT),” katanya kepada Bernama.

Nurul Fathira mengakui antara pengalaman paling meninggalkan kesan mendalam adalah ketika pandemik COVID-19 melanda pada 2020 yang menyaksikan ramai yang hilang pekerjaan, malah ada keluarga yang hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. 

“Semasa gerakan bendera putih pada 2021, saya pernah menemukan ketua keluarga yang hanya memperoleh kira-kira RM30 sehari sebagai buruh kasar. Si bapa ada tanggungan anak kecil, ibu bapa uzur serta ahli keluarga orang kurang upaya (OKU) dalam keadaan rumah yang sempit dan serba kekurangan.

“Anak-anak kecil itu tidak memilih untuk lahir dalam keadaan sebegitu, jadi kita sebagai golongan yang mampu melakukan perubahan ini perlu membantu mereka mendapatkan peluang yang lebih baik,” katanya yang mengakui detik itu telah mengajarnya erti sebenar tanggungjawab. 

Bagi pemegang ijazah sarjana dalam bidang sains itu, menyertai Persatuan Kebajikan Bantuan Komuniti Terpinggir Sarawak (Bantu Sarawak) kira-kira empat tahun lepas memberi ruang lebih luas untuk golongan belia sepertinya menyumbang kepada masyarakat.

Anak kedua daripada empat beradik itu percaya tugas sukarelawan bukan sekadar menyalurkan bantuan makanan atau wang tunai, tetapi turut membantu membuka jalan pembangunan kemahiran khususnya masyarakat luar bandar atau terpinggir.

“Kerja sukarela juga tentang memberi pendedahan, keyakinan dan peluang kepada komuniti yang terkesan mengenai kepentingan pendidikan untuk mencari pekerjaan stabil kerana dari situ mereka boleh keluar daripada kepompong kemiskinan,” katanya.

Berketurunan Kayan-Melayu, wanita itu percaya pengalaman melibatkan diri dalam kesukarelawanan dan berinteraksi dengan masyarakat pelbagai kaum dan agama di negeri ini menjadikan beliau lebih menghayati erti sebenar patriotisme dan pentingnya nilai perpaduan di Malaysia.

“Kita akui masih wujud rasa prejudis antara kaum, tetapi bila kita duduk bersama dan saling membantu, perasaan prejudis itu hilang. Kita lihat masing-masing sebagai manusia yang sama, bukan lagi berdasarkan kaum atau agama. Selagi masih ada ketidaksamaan dan penindasan, erti merdeka belum lengkap,” katanya.

Turut berkongsi pandangan, pengasas Bantu Sarawak Jeffery Ngui yang sejak beberapa tahun lepas aktif menghimpunkan golongan muda untuk bersama-sama menggerakkan inisiatif kemasyarakatan.

Menerusi sokongan daripada pelbagai pihak, belia dan sukarelawan yang terlibat giat menghidupkan perubahan dalam komuniti terpinggir, sekali gus mendorongnya untuk terus melakukan usaha berkenaan hingga ke hari ini.

Mengulas peranan generasi muda dalam membina masa depan negara, Ngui berkata golongan berkenaan merupakan aset besar negara kerana mempunyai tenaga, masa dan semangat untuk digembleng.

“Kesukarelawanan mungkin tidak menjanjikan kemewahan berbentuk wang, tetapi ia memberikan sesuatu yang jauh lebih bernilai iaitu rasa kemanusiaan, pengalaman hidup yang mengajar kita erti syukur serta makna sebenar menjadi rakyat Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan