Ad Banner
 AM > BERITA

EAIC Umum Penjenamaan Semula, Perkukuh Peranan Sebagai Pemantau Bebas

08/08/2025 10:54 AM

KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Bernama) -- Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mengumumkan penjenamaan semula organisasinya, termasuk pengenalan logo baharu sebagai simbol pembaharuan dan pengukuhan peranan institusi itu sebagai sebuah badan pemantau bebas.

EAIC dalam satu kenyataan memaklumkan perkara itu dilaksanakan selaras dengan mandat di bawah Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700].

“Penjenamaan semula ini merupakan kesinambungan kepada usaha pembaharuan progresif yang digerakkan sejak 2024, termasuk penubuhan Pasukan Petugas Khas bagi menyiasat kes berprofil tinggi dan berkepentingan awam.

“Antaranya pembuangan sisa buangan elektrik dan elektronik (e-sisa) secara haram serta penyalahgunaan kuasa dalam pengeluaran visa perubatan, dan kajian untuk mengenal pasti langkah pencegahan kematian dalam tahanan,” menurut kenyataan EAIC.

Menurut kenyataan EAIC, inisiatif itu juga merangkumi pemantapan prosedur operasi standard (SOP) siasatan dan pewujudan mekanisme traffic light bagi memantau kemajuan siasatan, yang telah melonjakkan kadar penyelesaian aduan kepada 99 peratus.

Selain itu, EAIC turut menjalankan kajian keberkesanan operasi agensi penguatkuasaan seliaan dan penyertaan dalam operasi dan konsultasi di lapangan bersama pihak berkepentingan, untuk memahami isu di peringkat akar umbi bagi merangka syor penambahbaikan yang berimpak tinggi.

“EAIC juga konsisten dalam mengumumkan laporan hasil siasatan kepada umum bagi kes-kes yang disiasat, selaras dengan kehendak Seksyen 30(5), Akta 700 dan ini mencerminkan komitmen keterbukaan suruhanjaya kepada rakyat serta mendukung prinsip akauntabiliti institusi,” menurut kenyataan itu.

Sebagai kemuncak kepada segala usaha pembaharuan yang telah digerakkan, EAIC dilantik sebagai Ketua Peneraju Focus Group Penguatkuasaan di bawah Pasukan Petugas Khas Indeks Persepsi Rasuah (CPI), yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN).

“Ia merupakan pengiktirafan tertinggi terhadap kredibiliti dan komitmen EAIC dalam memacu agenda integriti nasional, selaras dengan aspirasi pencapaian sasaran CPI 2033,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Pengerusi EAIC Tan Sri Dr Ismail Bakar dalam kenyataan sama berkata perubahan itu, bukan sekadar penjenamaan visual tetapi merupakan satu langkah strategik ke arah memperkukuh fungsi pengawasan EAIC secara lebih berfokus dan responsif.

“Penjenamaan semula ini diharap akan dapat menyampaikan matlamat suruhanjaya dengan lebih jelas untuk terus bergerak ke hadapan sebagai peneraju dalam reformasi integriti institusi penguatkuasaan, dengan fokus memperbaiki proses, meningkatkan ketelusan dan membina kepercayaan masyarakat secara berterusan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan