Ad Banner
 AM > BERITA

RMK13: Golongan Rentan Akan Dibantu Dalam Pendidikan, Pasaran Pekerjaan

31/07/2025 03:49 PM

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Kerajaan akan terus memperkasa golongan rentan seperti wanita, orang kurang upaya (OKU) dan warga emas melalui pelbagai inisiatif di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dengan memfokus kepada pendidikan, latihan kemahiran serta penyertaan dalam pasaran kerja.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan cakna terhadap keperluan pendidikan bagi OKU kerana hampir 171,000 kanak-kanak golongan itu, termasuk yang menghidap autisme, direkodkan mempunyai masalah dalam pembelajaran setakat Jun 2025.

“Oleh itu, inisiatif akan diteruskan untuk memperluas fasiliti dan kapasiti pendidikan khas kepada golongan rentan di seluruh negara dalam RMK13 dan ini termasuk projek pembinaan blok Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di 34 sekolah sedia ada seluruh Malaysia. 

“Selain itu, pembinaan sekolah baharu yang dilengkapi kemudahan PPKI akan diteruskan,” kata ketika membentangkan RMK13 di Dewan Rakyat di sini hari ini. 

RMK13 yang bertemakan ‘Melakar Semula Pembangunan’ merupakan pembangunan lima tahun negara bagi tempoh 2026 hingga 2030.

Perdana Menteri juga berkata sokongan dan latihan yang mencukupi akan diberikan melalui program Akademi Dalam Industri, Pelan Tindakan OKU Kebangsaan dan insentif kepada majikan bagi meningkatkan penyertaan warga emas, Orang Asli serta OKU dalam pasaran kerja.

Beliau berkata pada masa sama, had umur persaraan wajib akan diteliti semula untuk disesuaikan dengan peralihan kepada negara tua. 

Dalam pada itu, Anwar berkata agenda nasional KASIH Keluarga Negara yang berteraskan pembentukan insan MADANI akan dilaksana bagi memperkukuh institusi kekeluargaan termasuk peranan lelaki sebagai pemimpin, pelindung, pembela dan pendidik serta pencari nafkah utama keluarga.

 “Manakala bagi menyokong peningkatan kadar penyertaan wanita dalam pasaran kerja kepada 60 peratus termasuk ibu yang mempunyai anak kecil, pusat penjagaan yang berkualiti akan diperluas dan latihan bersesuaian akan disediakan,” katanya.

Perdana Menteri berkata kerajaan juga akan memperkasa sektor ketiga untuk bergerak bersama-sama kerajaan bagi mengupayakan golongan sasar dan rentan kerana sektor itu mampu menyediakan peluang keusahawanan, pekerjaan serta latihan kemahiran yang lebih inklusif dan bersifat setempat. 

"Dalam hubungan ini, daya tahan sektor ketiga akan diperkukuh melalui penyediaan latihan dan khidmat nasihat manakala sumber pembiayaan alternatif kepada sektor ini juga akan diperluas melalui sukuk sosial, dana wakaf, zakat, pendanaan awam serta pembiayaan campuran termasuk penglibatan syarikat berkaitan kerajaan, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan dan swasta serta pengukuhan gerakan koperasi," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan