KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Kerajaan memberi jaminan untuk terus mempertahankan dan mempertingkatkan hak masyarakat Orang Asli melalui pindaan Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) yang akan dilaksanakan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata terdapat tujuh aspek yang diberi perhatian dalam pindaan itu, iaitu berkaitan tanah, pendidikan, kesihatan, ekonomi, kepimpinan, infrastruktur dan kebudayaan.
Pada masa ini, Ahmad Zahid berkata kerajaan sedang dalam tindakan untuk meminda akta itu yang tidak pernah dibuat sebarang pindaan substantif sejak berkuat kuasa pada 1954.
“Kajian Semakan Pindaan Akta Orang Asli 1954 sedang dilaksanakan bagi menghalusi dan mengkaji semula peruntukan semasa dalam Akta 134 secara menyeluruh serta mengenal pasti jurang dalam perlaksanaan akta berkenaan,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) yang ingin tahu adakah kerajaan bercadang meminda Akta 134 yang sedang berkuat kuasa ketika ini bagi memastikan perlindungan hak dan kemajuan komuniti Orang Asli terus terjamin.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid berkata hal berkaitan pentadbiran tanah adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan mengadakan sesi libat urus bersama kerajaan negeri melalui Mesyuarat Khas Majlis Perundingan Orang Asli (MaPOA) bagi membincangkan hal berkaitan tanah melibatkan Orang Asli.
“Sesi libat urus melalui Mesyuarat Khas MaPOA ini amat penting sebelum isu tanah berkenaan dibincangkan di peringkat Majlis Tanah Negara (MTN) yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri,” katanya.
Ahmad Zahid berkata KKDW turut mendapatkan input melalui sesi libat urus dan soal selidik dengan kepimpinan Orang Asli dan agensi berkaitan supaya pindaan Akta 134 bersifat komprehensif dan holistik dengan mengambil kira pandangan pihak berkepentingan.
Sementara itu, beliau berkata Dasar Pembangunan Orang Asli yang dilaksanakan dengan kerjasama Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) juga membuktikan Malaysia mengadaptasi pendekatan terbaik daripada negara lain untuk meningkatkan taraf kehidupan komuniti berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial