Ad Banner
 AM > BERITA

Kerajaan Komited Tangani Kos Sara Hidup - Fahmi

30/07/2025 05:01 PM

PUTRAJAYA, 30 Julai (Bernama) -- Kerajaan akan terus mempergiat usaha menangani isu kos sara hidup melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif bersasar dan penyebaran maklumat yang komprehensif, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau berkata antara inisiatif sedang dilaksanakan ialah pemberian Sumbangan Asas Rahmah (SARA) secara sekali beri sebanyak RM100 kepada rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas serta pelaksanaan subsidi petrol RON95 secara bersasar.

“Kerajaan membelanjakan lebih RM2 bilion untuk melaksanakan program SARA bagi membantu rakyat membeli barangan keperluan asas melalui lebih 4,100 premis di seluruh negara. Sekiranya seseorang tidak mahu menggunakan manfaat ini, mereka masih boleh membeli barangan asas tersebut dan kemudian menyumbangkannya kepada orang lain.

“Jika manfaat tidak digunakan dalam tempoh ditetapkan iaitu hingga 1 Jan 2026, jumlah itu akan dikembalikan ke Kumpulan Wang Disatukan untuk dimanfaatkan oleh kumpulan lain yang lebih memerlukan,” katanya dalam majlis perhimpunan bulanan Kementerian Komunikasi di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa, Ketua Pegawai Eksekutif  Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj.

Mengenai pelaksanaan subsidi bersasar RON95, Fahmi menegaskan bahawa manfaat sebenar kepada rakyat adalah lebih besar daripada yang dilihat.

“Rakyat Malaysia yang layak akan membayar sekitar RM1.99 seliter, manakala bukan warganegara akan membayar harga pasaran RM2.50 hingga RM2.60. Jadi, manfaatnya bukan enam sen tetapi lebih 50 sen,” katanya.

Fahmi juga menolak tanggapan negatif mengenai prestasi pelaburan negara, dengan menyatakan bahawa banyak pelaburan yang sebelum ini di peringkat cadangan kini telah menjadi realiti dengan kilang-kilang mula beroperasi.

Sehubungan itu, Fahmi meminta Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Bernama untuk bekerjasama rapat dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi mendapatkan data dan maklumat sahih, agar manfaat sebenar pelaburan itu dapat disampaikan kepada rakyat dengan tepat.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan