Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

ASEAN Perlu Terus Kekal Bersatu, Berpaksikan Dialog - PM Anwar

30/07/2025 08:33 AM

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ASEAN perlu terus kekal bersatu, berprinsip dan berpaksikan dialog dalam mendepani tantangan serantau dan global.

Beliau berkata perkara berkenaan antara yang disentuh dalam perbualan telefon bersama Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr usai tiba ke tanah air dari Jakarta, Indonesia, malam tadi.

“Kami menyentuh mengenai perkembangan semasa di rantau ini, termasuk lawatan beliau ke Amerika Syarikat serta peranan penting ASEAN dalam memperkukuh kerjasama serantau,” kata beliau dalam hantaran di media sosial.

Perdana Menteri berkata beliau dan Marcos turut membincangkan usaha pendamaian antara Kemboja dan Thailand yang semakin menampakkan hasil meskipun terdapat beberapa insiden mencabar proses itu.

“Malaysia menghargai sumbangan konstruktif kuasa-kuasa besar seperti China dan Amerika Syarikat serta rakan-rakan ASEAN dalam menjayakan rundingan ini,” kata beliau.

Isnin lepas, Anwar mengumumkan bahawa Thailand dan Kemboja bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat bagi meredakan ketegangan di sepanjang sempadan yang dipertikai, hasil mesyuarat khas yang dipengerusikan beliau di Putrajaya.

Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai menghadiri mesyuarat berkenaan.

Turut hadir Duta Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia Edgard Kagan dan Duta China ke Malaysia Ouyang Yujing.

AS merupakan penganjur bersama mesyuarat itu, manakala China hadir sebagai pemerhati bagi menyokong penyelesaian damai terhadap situasi yang sedang berlaku.

Kedua-dua negara berjiran Asia Tenggara itu mempunyai sejarah panjang pertikaian diplomatik melibatkan 817 kilometer sempadan bersama yang belum ditandakan sepenuhnya.

Ketegangan antara Thailand dan Kemboja memuncak sejak 28 Mei susulan pertempuran antara tentera kedua-dua negara berhampiran kawasan sempadan di Preah Vihear, yang mengorbankan seorang anggota tentera Kemboja.

Konflik terbaharu tercetus pada 24 Julai lepas dengan beberapa insiden pertempuran dilaporkan di kawasan sempadan di utara Kemboja yang mengakibatkan korban jiwa di kedua-dua pihak.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan