Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Sabak Bernam Pusat Pengeluaran Padi Utama Selangor

29/07/2025 05:02 PM

KLANG, 29 Julai (Bernama) -- Sabak Bernam muncul sebagai pusat pengeluaran padi utama di Selangor, berdasarkan hasil dapatan Laporan Interim Banci Pertanian 2024 Negeri Selangor.

Ketua Perangkawan merangkap Pesuruhjaya Banci Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata berdasarkan laporan itu, padi merupakan tanaman utama di daerah berkenaan dengan keluasan bertanam mencapai 24,098.04 hektar.

“Nilai jualan padi yang dicatatkan di Sabak Bernam sahaja mencecah RM220.10 juta, mewakili lebih 60 peratus daripada keseluruhan nilai jualan padi di Selangor,” katanya menerusi kenyataan yang diedarkan di majlis pelancaran Laporan Interim Banci Pertanian 2024 Negeri Selangor di sini hari ini.

Beliau berkata Sabak Bernam juga muncul sebagai daerah memiliki pegangan pertanian tertinggi di Selangor dengan 9,296 pemegang  (membabitkan 9,197 individu dan 99 pertubuhan) daripada 37,117 pegangan seluruh negeri.

“Dari segi keluasan bertanam dan bertuai, daerah ini juga mencatatkan angka tertinggi, iaitu 44,122.79 hektar untuk kawasan bertanam dan 43,286.51 hektar untuk kawasan bertuai. 

“Nilai jualan bagi aktiviti pertanian Sabak Bernam direkodkan sebanyak RM1.64 bilion,” katanya.

Mohd Uzir berkata untuk seluruh Selangor, sebanyak 37,117 pegangan pertanian direkodkan di negeri itu bagi 2023 dengan 95.6 peratus (35,474) merupakan pegangan individu, manakala 4.4 peratus (1,643) dimiliki oleh pelbagai pertubuhan dan organisasi pertanian.

Beliau berkata majoriti pemegang pertanian adalah berumur 46 tahun ke atas merangkumi 77.3 peratus, dengan 44.5 peratus terdiri daripada mereka yang berusia 60 tahun ke atas. 

“Data ini jelas menunjukkan sektor pertanian masih didominasi oleh golongan berpengalaman, sekali gus menekankan kepentingan nilai tradisi, ketekunan dan kepakaran generasi terdahulu dalam memastikan kelangsungan sektor ini.

“Namun begitu, dalam usaha meremajakan sektor pertanian ini,  antara cabaran utama yang dikenal pasti adalah menarik penyertaan aktif golongan muda untuk menceburi bidang ini secara lebih progresif dan berdaya saing,” katanya.

Mohd Uzir berkata subsektor ternakan di Selangor merekodkan sebanyak 2,198 pegangan pertanian, dengan nilai jualan mencecah RM3.16 bilion. 

Bagi subsektor perikanan, beliau berkata ia terbahagi kepada dua komponen utama iaitu perikanan tangkapan dengan pemegang pertanian sebanyak 2,374 pengusaha membabitkan pengeluaran sebanyak 106,920 tan metrik dengan nilai jualan bernilai RM1.39 bilion.

“Bagi subsektor akuakultur, pengeluaran direkodkan sebanyak 16,900 tan metrik, serta 372 juta ekor (merangkumi ikan hiasan dan anak ikan) dengan nilai jualan mencapai RM196.4 juta,” katanya.

Dapatan Banci Pertanian 2024 Selangor dibentangkan secara rasminya kepada umum pada majlis pelancaran Laporan Interim Banci Pertanian 2024 Selangor oleh Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari hari ini.

Turut hadir Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor Datuk Izham Hashim.  

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan