Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Kementerian Pengangkutan Bakal Perkenal Perkhidmatan BAS.MY Medik Dalam Tempoh Terdekat

28/07/2025 05:50 PM

KANGAR, 28 Julai (Bernama) -- Kementerian Pengangkutan bakal memperkenalkan perkhidmatan tambahan, iaitu BAS.MY Medik menerusi Program Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-henti (SBST) dalam tempoh terdekat sebagai usaha menyediakan kemudahan pengangkutan kepada penumpang mobiliti terhad.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata untuk itu kementerian mengenakan syarat terhadap pengendali BAS.MY dengan mereka perlu menyediakan sekurang-kurangnya sebuah van bagi membawa penumpang mobiliti  terhad seperti mereka yang berkerusi roda atau yang mahu mendapatkan rawatan di klinik selain ke pusat dialisis.

Loke berkata perkhidmatan BAS.MY Medik itu akan diperkenalkan dengan kadar tambang berpatutan.

"Ini ialah satu masalah di semua tempat, di semua negeri memang ada golongan yang memerlukan perkhidmatan pengangkutan.

“Kalau dari rumah ke pusat dialisis ambil teksi atau mana-mana perkhidmatan mungkin kadar tambangnya RM20, RM30 setiap kali.

“BAS.MY Medik ini akan menghantar penumpang ke pusat rawatan dengan kadar (tambang) yang jauh lebih murah dan akan diperkenalkan oleh pengendali bas tidak lama lagi,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran SBST BAS.MY Kangar di sini hari ini.. 

Pelancaran berkenaan disempurnakan Loke bersama dengan Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli.

Sementara itu, Loke berkata kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM39.70 juta bagi tempoh lima tahun atau RM7.94 juta setahun untuk memastikan perkhidmatan bas henti-henti BAS.MY Kangar dapat mencapai kejayaan demi kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata pelaksanaan BAS.MY di Kangar melibatkan sembilan laluan merangkumi keseluruhan negeri Perlis serta menghubungkan bandar Kangar dan bandar raya Alor Setar.

"Untuk makluman, perkhidmatan SBST Kangar sebelum pandemik COVID-19 pernah mencatat purata penumpang sebulan dalam lingkungan 30,000 penumpang antara tahun 2016 hingga 2019.

“Namun, bagi enam bulan pertama 2025, BAS.MY Kangar mencatat purata penumpang sebulan sebanyak 12,071 penumpang sahaja. Saya percaya perkhidmatan ini masih mempunyai ruang untuk terus meningkat.

“Pengendali BAS.MY Kangar perlu lebih agresif dalam mempromosikan perkhidmatan ini kepada semua lapisan masyarakat," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan