Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Timbalan Editor Kandungan Bernama Antara 27 Pembaca Ikrar Pada Pelancaran Bulan Kebangsaan

27/07/2025 12:32 PM

MUAR, 27 Julai (Bernama) -- Timbalan Editor Kandungan Bernama.com Badrul Zaman Mohamad Yusoh merupakan antara 27 individu yang menyertai bacaan ikrar Rukun Negara pada Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 di Dataran Tanjung Emas, di sini hari ini.

Pemilihan beliau dibuat oleh Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) sebagai antara "Anak Merdeka" kelahiran 31 Ogos, satu simbolik yang menggelorakan semangat patriotisme dan cintakan negara dalam kalangan rakyat.

Upacara bacaan ikrar diketuai oleh Pegawai Kementerian Komunikasi Hafizul Zikri Mawardi bersama 10 orang "Anak Merdeka" daripada pelbagai agensi dan 17 ahli Persatuan Pengakap Daerah Muar, menggambarkan kepelbagaian latar belakang rakyat yang bersatu di bawah satu panji kemerdekaan.

Badrul Zaman, 55, yang telah berkhidmat selama 24 tahun di Bernama, menyifatkan pengalaman itu sebagai satu penghormatan yang akan dikenang seumur hidup.

“Saya rasa sangat bangga dan terharu kerana diberi kepercayaan untuk mewakili semangat rakyat Malaysia. Lafaz ikrar bukan sekadar kata-kata, tetapi satu janji ikhlas kepada negara.

“Sebagai individu yang lahir pada 31 Ogos, saya berbangga berkongsi tarikh lahir dengan hari bersejarah negara, seolah-olah satu simbol bahawa saya lahir bersama dengan semangat kebebasan dan perjuangan. Tarikh itu menjadikan tanggungjawab saya terhadap negara lebih mendalam dan peribadi,” katanya ketika ditemui di sini. 

Sementara itu, pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Liu Jia Yuan, 18, berkata dia dihubungi oleh pihak JaPen sebanyak dua kali untuk menyertai bacaan lafaz ikrar berkenaan dan pada mulanya tidak menghiraukannya kerana menganggapnya satu scam.

“Pada saya, selain berbangga dapat melafazkan ikrar di hadapan Perdana Menteri … aktiviti seperti ini dapat mengeratkan perpaduan antara pembaca ikrar dan menyemai semangat perpaduan, difahamkan pembaca ikrar hari ini datangnya dari seluruh negara,” katanya. 

Sementara itu, petugas Bahagian Dasar dan Antarabangsa Kementerian Komunikasi Noria Munirah Yakub, 38, berasa seperti mimpi setelah menerima "amanah" berkenaan awal bulan ini. 

Beliau yang berasal dari Mukah, Sarawak berkata peluang keemasan berkenaan juga memberikan peluang untuk beliau mengukuhkan semangat patriotik dalam dirinya. 

“Saya berharap pelancaran Bulan Kebangsaan tahun ini benar-benar menyatukan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang. Perkara ini harus menjadi ruang untuk memperkukuh perpaduan, menanam semangat cintakan negara,” katanya. 

Majlis peluncuran berkenaan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan