MUAR, 27 Julai (Bernama) — Sebanyak 600 slot pembelajaran percuma ditawarkan kepada bumiputera Johor dalam bidang perakaunan pada Karnival Kita MADANI bersempena dengan Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang (MPBKKJG) 2025 yang berlangsung di Dataran Tanjung Emas, di sini.
Penolong Pegawai Tadbir Sekretariat Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) Aniq Zafran Roslan berkata inisiatif itu ditaja oleh Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera, sebuah yayasan di bawah Kementerian Ekonomi, dengan kerjasama JTDC.
Menurut beliau, slot percuma itu melibatkan pembelajaran secara sepenuh masa dan separuh masa bagi Sijil Profesional Akauntan (Asasi Perakaunan ACCA) dan Sijil Kewangan, Perakaunan dan Perniagaan (CFAB) di Sunway Tes College, Johor Bahru.
“Tempoh pembelajaran bagi kedua-dua kursus ini adalah antara setahun hingga tiga tahun, dan terbuka kepada individu berumur seawal 16 tahun yang mempunyai latar belakang pendidikan dalam perakaunan.
“Yayasan Peneraju tampil sebagai peneraju utama dalam menyokong pembangunan modal insan negeri Johor dengan menyediakan dana khas bagi program kemahiran work-up,” katanya ketika ditemui Bernama di sini.
Beliau berkata tujuan utama slot pembelajaran secara percuma itu dibuka ialah untuk memperkukuh laluan kerjaya profesional dalam bidang perakaunan kepada anak-anak Johor, sekali gus membolehkan mereka memiliki tahap pendidikan bertaraf antarabangsa.
Karnival Kita MADANI berlangsung selama dua hari bermula dari semalam sebagai sebahagian daripada program sisipan MPBKKJG yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pagi ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial