MELAKA, 26 Julai (Bernama) -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menyantuni lebih 2,300 ahli Komuniti MADANI seluruh semenanjung dalam Program Permukiman Komuniti MADANI Semenanjung di Mini Stadium Bistari, Ayer Keroh di sini malam ini.
Jawatankuasa Media dan Publisiti Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 dalam satu kenyataan memaklumkan program anjuran Jabatan Penerangan (JaPen) itu, disertai 1,407 Komuniti MADANI dari seluruh Semenanjung serta enam Komuniti MADANI Wilayah Persekutuan Labuan yang diundang khas.
“Permukiman ini bertujuan memperkasakan kefahaman terhadap dasar, inisiatif, hala tuju dan strategi kerajaan kepada Komuniti MADANI.
“Peserta permukiman didedahkan tentang isu-isu semasa, penggunaan Internet secara bijak dan selamat serta komunikasi strategik yang berkesan,” menurut kenyataan itu.
Antara panel yang dijemput ialah Duta Anti-Scam Polis Diraja Malaysia (PDRM) ASP (B) Rahmat Fitri Abdullah dan personaliti TV Ally Iskandar Mohd Mardzi.
Selain itu peserta juga berpeluang menghadiri Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 yang akan berlangsung pada esok di Dataran Tanjung Emas, Muar, Johor.
Hadir sama, Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) Kementerian Komunikasi Mazlan Abd Mutalib, Ketua Pengarah JaPen Julina Johan serta pegawai-pegawai kanan kerajaan Persekutuan dan negeri.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial