Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

KPKM Jangka Eksport Durian Malaysia Meningkat Lebih RM1.5 Bilion Tahun Ini

26/07/2025 05:43 PM

GUA MUSANG, 26 Julai (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menjangkakan nilai eksport durian Malaysia melepasi RM1.5 bilion pada tahun ini susulan permintaan kukuh daripada pasaran utama seperti China, Singapura, Hong Kong dan Kanada.

Menterinya Mohamad Sabu berkata jumlah nilai eksport itu telah meningkat 256.3 peratus atau bersamaan RM822.8 juta dalam tempoh lima tahun, iaitu daripada RM321.2 juta pada 2018 kepada RM1.14 bilion pada 2022.

“Peningkatan ini membuktikan potensi besar durian sebagai antara komoditi agromakanan bernilai tinggi yang bukan sahaja memberi pulangan besar kepada negara malah membuka peluang ekonomi kepada rakyat di pelbagai peringkat," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Pesta Durian 2025 di Dewan Perdana Majlis Daerah Gua Musang di sini hari ini.

Beliau berkata usaha mempromosikan durian melalui pesta dan program seperti ini juga disifatkan penting bagi merangsang pertumbuhan sektor pertanian bernilai tinggi serta mewujudkan rantaian nilai melibatkan pekebun, logistik, peruncit, industri pemprosesan dan pelancongan

Mohamad berkata berdasarkan laporan pasaran durian segar global oleh Mordor Intelligence (2024), nilai pasaran durian dunia dijangka mencecah lebih USD10.78 bilion pada 2025 dan melonjak kepada USD16.89 bilion menjelang 2030, dengan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) 9.4 peratus.

"China kekal sebagai pendorong utama kepada pertumbuhan ini, dengan menyumbang lebih 90 peratus daripada jumlah import durian di Asia Pasifik sekali gus menjadi pasaran strategik utama bagi pengeksport Malaysia.

"Pada 19 Jun 2024, Malaysia berjaya memeterai Protokol Keperluan Fitosanitari Pengeksportan Buah Durian Segar ke China yang membuka akses pasaran baharu bagi eksport durian segar dari Malaysia ke negara berkenaan," katanya.

Beliau berkata sebelum ini akses eksport ke China hanya terhad kepada durian dalam bentuk ulas dan pes pada  2011, serta durian sejuk beku dalam bentuk biji (2018). 

--BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan