ALOR SETAR, 25 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan tidak memandang ringan konflik yang sedang berlaku antara Thailand dan Kemboja serta kesannya ke atas negara ini.
Beliau berkata walaupun keadaan di negara ini masih stabil dan baik namun Malaysia perlu belajar daripada pengalaman negara jiran.
“Saya percaya setakat ini, pimpinan kedua-dua negara nampak bersedia (untuk menghentikan serangan) tetapi kita kena waspada sebab kawasan ASEAN terlalu strategik dari segi geopolitik.
“Kita di Malaysia tidak pandang ringan walaupun keadaan negara stabil dan baik... kita belajar daripada pengalaman negara jiran,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri pertemuan tertutup bersama pimpinan Parti Keadilan Rakyat Perlis, Kedah dan Pulau Pinang di sini hari ini.
Anwar berkata konflik itu juga perlu ditangani dan pemimpin kedua-dua negara secara prinsipnya telah menyatakan persetujuan untuk menghentikan pertempuran.
Perdana Menteri berkata beliau telah menghubungi pemimpin Thailand serta Kemboja dan optimis bahawa kedua-dua negara akan menghentikan serangan supaya proses damai dapat diadakan.
“Mereka telah beri ruang yang sangat baik... minta saya teruskan... kedua-dua Perdana Menteri beritahu saya ‘Anwar terima kasih banyak, kita terima peranan anda dan kita minta anda teruskan’,” katanya.
Anwar berkata beliau juga telah meminta Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan menghubungi Menteri Luar Thailand dan Kemboja berhubung isu itu.
Semalam, Bernama melaporkan Perdana Menteri menyambut baik isyarat positif serta kesediaan yang ditunjukkan Bangkok dan Phnom Penh dalam mempertimbangkan pelaksanaan gencatan senjata bagi mengelakkan konflik yang lebih buruk di sempadan kedua-dua negara.
Anwar dilapor telah menghubungi Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai pada Khamis bagi menyuarakan kebimbangan Malaysia terhadap peningkatan ketegangan yang berlaku.
Media sebelum ini melaporkan bahawa tentera Thailand dan Kemboja bertempur pada Khamis lepas di kawasan pertikaian sempadan bersama, dengan kedua-dua pihak saling menuding jari mengenai pihak yang dianggap sebagai pencetus konfrontasi terbaharu itu.
Ketegangan antara kedua-dua negara Asia Tenggara itu meningkat sejak 28 Mei susulan insiden berdarah di kawasan Preah Vihear yang mengorbankan seorang anggota tentera Kemboja.
Kedua-dua negara telah berselisih pendapat mengenai isu sempadan sepanjang 817 kilometer yang belum dimuktamad selama beberapa dekad, dan pertikaian ini terus menjejaskan hubungan diplomatik mereka.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial