GEORGE TOWN, 25 Julai (Bernama) -- Kerajaan Pulau Pinang telah meluluskan peruntukan lebih RM30 juta kepada sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT), tadika dan Pusat Pendidikan Punjabi di seluruh negeri itu sejak 2009.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata ia termasuk RM2.42 juta yang disalurkan tahun ini, sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memperkukuh ekosistem pendidikan Pulau Pinang secara adil dan inklusif, selaras dengan aspirasi Penang2030 dan nilai Malaysia MADANI.
Beliau berkata daripada jumlah itu sebanyak RM1.78 juta disalurkan kepada SJKT melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), RM268,100 kepada 14 tadika di bawah seliaan sekolah Tamil manakala RM120,000 diberikan kepada tiga Pusat Pendidikan Punjabi dengan masing-masing menerima RM40,000.
“Sejak 16 tahun lepas, Kerajaan Negeri Pulau Pinang komited menyediakan bantuan kewangan khas kepada SJKT serta Pusat Pendidikan Punjabi.
“Meskipun jumlah peruntukan itu bukanlah satu angka besar tetapi ia menunjukkan keprihatinan kerajaan negeri untuk membantu sedikit sebanyak institusi pendidikan Tamil yang sebelum ini mungkin menghadapi kekangan mendapatkan dana bagi kerja pembaikan berskala kecil dan sederhana,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Replika Cek kepada 28 SJKT dan Pusat Pendidikan Punjabi Pulau Pinang di Komtar, di sini hari ini yang turut dihadiri Exco Perumahan dan Alam Sekitar negeri Datuk Seri S Sundarajoo merangkap Pengerusi Jawatankuasa Khas Sekolah Tamil Pulau Pinang.
Chow berkata peruntukan itu tidak hanya berfungsi memperbaiki kemudahan fizikal sekolah, tetapi turut memperkukuh sokongan terhadap keberlangsungan pendidikan vernakular di negeri itu.
Beliau berkata banyak penambahbaikan dari segi pembangunan telah direalisasikan selain pelaksanaan program pendidikan berjaya melahirkan pelajar cemerlang bukan sahaja dari segi akademik malah berdisiplin tinggi dan berdaya saing dalam tempoh 16 tahun ini.
Sementara itu, Sundarajoo berkata komitmen dan kesungguhan kerajaan negeri menerusi penyaluran peruntukan telah menyaksikan sekolah-sekolah Tamil di Pulau Pinang berkembang maju terutama dari segi infrastruktur dengan sebahagian besar daripadanya mempunyai infastruktur asas mencukupi.
“Saya difahamkan kesemua 28 sekolah Tamil juga mempunyai kelengkapan teknologi maklumat (IT) yang lengkap seperti papan pintar.
"Justeru, saya berharap bantuan ini dapat digunakan secara telus dan berhemah dalam memastikan setiap ringgit diperoleh dimanfaatkan untuk tujuan sepatutnya," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial