KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- Pengumuman penangguhan kenaikan kadar tol bagi 10 lebuh raya di seluruh negara memberi kelegaan kepada pengguna jalan raya di seluruh negara.
Di SELANGOR, pengusaha inap desa Izat Izuan, 40, menzahirkan rasa syukur atas penangguhan itu memandangkan mereka menetap di Sekinchan, Selangor dan kerap menggunakan Lebuhraya KL - Kuala Selangor (LATAR) atas urusan kerja.
“Kebanyakan pembekal yang menawarkan harga jauh lebih murah terletak di kawasan bandar, jadi perlu melalui laluan tol untuk dapatkan barang dengan cepat dan jimat,” katanya kepada Bernama.
Di PULAU PINANG, Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) Mohideen Abd Kadir berkata langkah itu wajar dan memberi manfaat kepada rakyat terutama golongan B40 yang melalui plaza tol setiap hari sama ada untuk pergi ke tempat kerja atau urusan harian lain.
Di PERAK, juruteknik elektrik, Ahmad Fauzi Ismail, 42, berkata langkah itu sangat membantu mengurangkan beban perbelanjaan harian, khususnya bagi mereka yang kerap menggunakan lebuh raya.
“Syukurlah kos perbelanjaan tol masih sama seperti sebelum ini kerana mengikut perjanjian konsesi, sepatutnya ada kenaikan. Sudah pasti ia memberi manfaat kepada rakyat seperti saya yang sering berulang-alik ke Kuala Lumpur dan Pulau Pinang setiap dua minggu dari Seri Iskandar,” katanya.
Bagi pelukis pelan, Mohd Hafizi Saidi, 39, keputusan kerajaan menanggung implikasi kewangan bagi memastikan tiada kenaikan kadar tol jelas menunjukkan keprihatinan terhadap kebajikan rakyat.
“Jika apa jua kos dapat dikurangkan, itu memadai. Waima dapat berjimat RM10 hingga RM30 setiap isi keluarga, kita sambut baik. Langkah ini membuktikan kerajaan berbelanja secara berhemah dan mengembalikan manfaat kepada rakyat, terima kasih kerajaan,” katanya.
Di JOHOR, suri rumah Rohaya Suradi, 29 menyifatkan keputusan kerajaan untuk mengekalkan kadar tol Lebuh Raya Senai - Desaru (SDE) membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap rakyat khususnya bagi keluarga berpendapatan sederhana di kawasan luar bandar.
"Kami sekeluarga dari Kota Tinggi dan boleh dikatakan setiap minggu menggunakan lebuh raya SDE untuk menziarahi kakak saya yang tinggal di Pasir Gudang, jadi apabila kerajaan kekalkan kadar sedia ada, sekurang-kurangnya kami dapat berjimat sikit dan terus guna lebuh raya ini tanpa rasa terbeban,” kata ibu kepada dua anak itu.
Di PAHANG, seorang pengurus syarikat pengangkutan Ahmad Effendy Jamaludin, 46, berkata inisiatif Kerajaan MADANI memberi banyak kelegaan kewangan kepada orang ramai dan syarikat perniagaan melibatkan pengangkutan.
“Rakyat boleh gunakan wang itu bagi membeli barang keperluan atau menyimpan, bagi syarikat perniagaan pula mereka tidak perlu mengeluarkan belanja tambahan untuk tol,” katanya.
Perdana Menteri semalam mengumumkan beberapa inisiatif utama sebagai tanda penghargaan Kerajaan MADANI kepada rakyat, termasuk pemberian RM100 secara sekali beri di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA), penangguhan kenaikan kadar tol bagi 10 lebuh raya dan subsidi harga petrol RON95 yang lebih rendah pada RM1.99 seliter.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial