Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Bahan Terpakai Diolah Jadi Cenderamata, Tarikan Pelancong Ke Mersing

24/07/2025 06:55 PM

MERSING, 24 Julai (Bernama) -- Penutup botol dan kotak terpakai yang lazimnya dibuang kini diolah komuniti daerah berkenaan menjadi cenderamata menarik seperti rantai kunci dan magnet peti sejuk, sekali gus menjadi tarikan pelancong dalam serta luar negara.

Pengurus Mersing Souvenir House Ahmad Firdaus Shaik Omar, 43 berkata hasil kreativiti penduduk tempatan itu dipamerkan menerusi inisiatif Mersing Souvenir House (MSH), yang diwujudkan melalui geran SejaTi MADANI bernilai RM100,000.

Ahmad Firdaus berkata ketika kebanyakan kampung lebih menumpukan kepada sektor agro dan penternakan, namun mereka memilih kelainan dengan menonjolkan identiti Mersing melalui kraf tangan dan cenderamata bertemakan hidupan laut. 

“Kami memilih untuk mengetengahkan produk seperti rantai kunci, topi, baju-T dan magnet peti sejuk yang bercirikan hidupan laut dan identiti Mersing. Selain itu, pelancong juga dapat pulang dengan sesuatu yang unik dan menggambarkan daerah ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di MSH Kampung Air Puteri di sini baru-baru ini.

Ahmad Firdaus yang juga Setiausaha Persatuan Pelancongan Mersing (MTA) berkata projek yang bermula pada Oktober tahun lepas dan mula dipromosikan secara aktif sejak Februari lepas itu turut menganjurkan bengkel kraf dan aktiviti interaktif untuk pelawat termasuk pelajar sekolah, di sekitar daerah berkenaan. 

Beliau berkata semua produk MSH dihasilkan sepenuhnya oleh komuniti setempat termasuk golongan orang kurang upaya (OKU) dan asnaf, yang secara tidak langsung memperoleh manfaat ekonomi hasil permintaan terhadap produk berkenaan.

“MSH bukan sekadar pusat kraf, ia adalah perniagaan sosial yang menjana pendapatan serta mewujudkan peluang pekerjaan… setakat ini, kami mempunyai enam kakitangan tetap termasuk lima wanita anak tempatan.

“Kita juga bercadang menubuhkan pusat kitar semula untuk memperluas penghasilan produk kreatif seperti jam dinding dan model kapal terbang, semuanya menggunakan bahan buangan… selain berharap mendapat tajaan mesin kitar semula supaya dapat meningkatkan kecekapan penghasilan produk. Buat masa ini, kami masih bergantung kepada tenaga kerja dan kreativiti penduduk,” katanya.

Beliau berkata pihaknya menerima kunjungan 20 pelajar dari Perancis, berusia antara 15 hingga 18 tahun pada 18 Julai lepas, dan ditunjukkan kaedah menghasilkan replika penyu dan topi daripada bahan terpakai serta diberi pendedahan bermain permainan tradisional seperti gasing. 

“Program yang berlangsung selama dua jam itu bukan sahaja menyeronokkan tetapi memberi pendedahan kepada mereka mengenai budaya kita selain memastikan kelestarian alam terus terjaga,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan