Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

LKAN 2/2025: SPRM Akan Teliti Kelemahan Tatakelola, Potensi Salah Laku Agensi Serta GLC

24/07/2025 03:29 PM

PUTRAJAYA, 24 Julai (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menjalankan penelitian secara menyeluruh Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2/2025 bagi mengenal pasti kelemahan tatakelola dan potensi salah laku dalam agensi serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Menurut kenyataan SPRM hari ini, penelitian secara menyeluruh dilaksana termasuk mengambil tindakan susulan terhadap sebarang isu yang disyaki mempunyai unsur kesalahan jenayah di bawah Akta SPRM 2009 (Akta 694) dan bukan hanya terhad kepada isu tatakelola semata-mata.

“SPRM mengambil maklum LKAN dibentangkan di Parlimen baru-baru ini, khususnya berkaitan dengan isu-isu yang melibatkan kelemahan tatakelola dan potensi salah laku dalam agensi serta GLC. SPRM sentiasa menyokong pendedahan Ketua Audit Negara,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan dengan itu, SPRM akan berhubung dan bekerjasama rapat dengan Jabatan Audit Negara (JAN) bagi mendapatkan maklumat serta dokumen sokongan yang berkaitan untuk tujuan siasatan serta tindakan lanjut dengan kadar segera.

SPRM sentiasa komited dalam memastikan setiap dakwaan salah guna kuasa, penyelewengan dan rasuah ditangani secara tegas serta telus demi memastikan tadbir urus negara berada pada tahap tertinggi seterusnya mengembalikan keyakinan rakyat terhadap integriti institusi awam.

LKAN 2/2025 yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada Isnin mendedahkan tiga ketakteraturan serius membabitkan jumlah keseluruhan lebih RM460 juta.

Ketua Audit Negara Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata terdapat kelemahan tatakelola terhadap perolehan pajakan empat ladang sawit oleh FELCRA Bhd melibatkan nilai RM241.76 juta antara 2022 hingga 2024.

Beliau berkata Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pula berdepan isu ketakteraturan serius serta kelemahan dalam proses perolehan membabitkan tiga tender bernilai RM58.45 juta.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan