Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Nanas Pemacu Baharu Ekonomi Pertanian Sarawak

24/07/2025 02:25 PM

KUCHING, 24 Julai (Bernama) -- Nanas bukan lagi sekadar tanaman sampingan tetapi muncul sebagai antara pemacu ekonomi pertanian di Sarawak, kata Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom.

Beliau berkata Sarawak bukan sahaja dikurniakan tanah yang subur, tetapi turut memiliki potensi besar dalam sektor pertanian bernilai tinggi seperti nanas.

"Melalui kerjasama strategik antara Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) dan kerajaan negeri, pelbagai inisiatif penting dijalankan termasuklah program insentif tanaman, infrastruktur ladang serta kajian sisa nanas untuk kegunaan bioekonomi.

“Ini selari dengan hala tuju kerajaan dalam memajukan pertanian moden, pintar dan mampan," katanya pada majlis perasmian Hari Bertemu Pelanggan dan Penyampaian Bantuan Projek LPNM Sarawak 2025 di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD) Sirai Daha.

Dr Rundi berkata berdasarkan data tahun lepas, keluasan tanaman nanas di Malaysia adalah 18,135 hektar dan tidak mustahil angka ini boleh bertambah menjelang 2030 dengan Sarawak menyasarkan untuk memperluas tanaman nanas kepada 20,000 hektar menjelang tahun berkenaan.

Beliau berkata pencapaian ini bagaimanapun tidak akan berlaku tanpa usaha berterusan semua pihak dengan teknologi moden, pendigitalan dan pemodenan amalan pertanian adalah kunci utama dalam memastikan kelestarian dan daya saing industri nanas.

“Bukan sahaja di pasaran tempatan, tetapi juga di peringkat global dan paling utama adalah kerjasama yang baik di antara kerajaan negeri dan LPNM," katanya dan menambah tidak mustahil Sarawak mampu muncul sebagai pengeluar utama nanas di negara ini.

Pada majlis itu, turut dilancarkan sistem e-Pineapple menjadikan Sarawak negeri pertama mempelopori pelaksanaannya, membuktikan kesediaan negeri itu menghadapi cabaran transformasi digital dalam sektor agromakanan, selaras dengan agenda Strategi Ekonomi Digital Sarawak.

Sementara itu, Ketua Pengarah LPNM Mohd Khairuzamri M Saleh berkata nanas dikenal pasti antara sumber kekayaan yang mampu mengubah kehidupan rakyat dengan pihaknya menyasarkan pendapatan setiap pekebun nanas mampu mencecah RM8,000 sebulan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

“Hasil bancian yang dijalankan mendapati pekebun yang mengusahakan satu hektar tanaman mampu memperoleh pendapatan sehingga RM9,000 sebulan, sekali gus membuktikan sasaran LPNM berjaya dicapai,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan