Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Inisiatif Sejahtera MADANI Dilancar, Berjaya Kumpul Dana Hampir RM120 Juta

24/07/2025 02:29 PM

PUTRAJAYA, 24 Julai (Bernama) -- Inisiatif Kesejahteraan Rakyat Malaysia MADANI (Sejahtera MADANI) yang dilancarkan hari ini bagi menoktahkan kemiskinan berjaya mengumpul dana hampir RM120 juta, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata usaha berkenaan mendapat sambutan baik daripada pihak swasta dan telah melebihi sasaran awal ditetapkan iaitu RM50 juta.

“Hari ini (insiatif) Sejahtera MADANI, saya kata kalau dapat RM50 juta sudah baik dan kerajaan boleh tambah sedikit tetapi sekarang sambutan itu bukan hanya dua kali (ganda) tetapi lebih daripada itu.

“… sambutan (insiatif Sejahtera MADANI cecah) hampir RM120 juta. Ini projek yang baik dan kita ingin pacu negara ini sebagai negara gagah dan hebat,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran inisiatif itu di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Sementara itu, Anwar mengulangi tekad Kerajaan MADANI pimpinannya untuk menoktahkan kemiskinan tegar di negara ini menerusi pelbagai usaha bersama serta pendekatan strategik.

“Sasaran saya bersama dengan rakan Jemaah Menteri ialah kalau boleh kita mula noktahkan kemiskinan tegar. Berdasarkan angka 2023 hingga 2024, kita dapat atasi walaupun jumlah itu akan muncul kemudian tetapi jumlahnya jauh rendah daripada dulu,” katanya.

Perdana Menteri memuji komitmen semua pihak merangkumi sektor swasta dan Majlis Agama Islam yang komited bersama-sama kerajaan dalam membasmi kemiskinan negara.

Sejahtera MADANI merupakan inisiatif  nasional bagi membantu isi rumah miskin dan miskin tegar yang berdaftar dalam sistem Pangkalan Data Kemiskinan Nasional (Sistem eKasih). 

Inisiatif diselaras Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) itu menghimpunkan pelbagai bentuk intervensi bantuan merentas kementerian, agensi dan pihak swasta bagi membasmi kemiskinan secara berfokus dan bersepadu.

Sementara itu sempena pelancaran inisiatif berkenaan, ICU JPM memaklumkan Sejahtera MADANI yang berpaksikan pendekatan whole of nation approach itu diperkukuh dengan elemen tambahan.

Ia memfokuskan program atau bantuan lebih berimpak tinggi serta mampan kepada Ketua Isi Rumah (KIR) dan Ahli Isi Rumah (AIR) eKasih dengan empat fokus iaitu peningkatan pendapatan, pendidikan, perumahan dan kebajikan.

Menurut kenyataan itu, kerajaan menyasarkan sumbangan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) sebanyak RM100 juta bagi Sejahtera MADANI yang akan disalurkan terus ke Tabung Kesejahteraan Rakyat di bawah seliaan ICU JPM. 

“Kesemua jumlah sumbangan CSR ini layak mendapat potongan cukai pendapatan di bawah Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967 oleh Kementerian Kewangan,” menurut kenyataan itu.

Setakat 15 Julai lepas, sebanyak 306,403 KIR direkodkan dalam Sistem eKasih seluruh negara melibatkan 1,017 KIR dalam kategori Miskin Tegar dan 305,386 KIR Miskin.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan