Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Tiada Bukti Sahih Berhubung Lokasi Jho Low, Penggunaan Pasport

24/07/2025 01:44 PM

KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus menjalinkan kerjasama erat dan berterusan dengan pihak berkuasa serta agensi penguat kuasa antarabangsa bagi mengesan keberadaan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata hasil semakan dan maklumat yang diterima setakat ini tidak menemukan sebarang bukti atau fakta sokongan yang sahih berhubung lokasi semasa Jho Low mahupun penggunaan pasport oleh individu berkenaan.

“Berhubung laporan tertentu yang mengaitkan lokasi serta penggunaan pasport oleh individu itu, saya tegaskan bahawa perkara berkenaan belum disokong dengan apa-apa bukti sah sehingga kini. Jadi ia kekal sebagai dakwaan,” katanya pada sidang media selepas melawat Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) di sini hari ini.

Baru-baru ini, terdapat dakwaan menyatakan Jho Low yang terlibat skandal 1MDB kini menetap di sebuah kawasan elit di Shanghai, China menggunakan pasport Australia yang palsu.

Mengenai NSRC, Saifuddin berkata pusat operasi NSRC sedia ada akan dipindahkan ke premis sendiri di Cyberjaya pada September ini dan premis ini akan dilengkapi kemudahan terkini dan ruang lebih luas serta kaunter aduan bagi memudahkan orang ramai membuat aduan secara fizikal.

“Keputusan itu (memindahkan pusat operasi) akan disertai dengan penambahan perjawatan 139 dan pertambahan agensi juga. Sekarang ini saya sebut empat tapi secara prinsipnya, kita bersetuju juga untuk menerima penyertaan dua lagi agensi, iaitu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dan juga Suruhanjaya Sekuriti.

“Jadi ini ke arah pengukuhan lagi supaya penyertaan dua agensi baharu itu tambahan kepada empat (agensi) sedia ada (dan) dengan sendirinya kedudukan NSRC itu akan lebih dapat memenuhi fungsinya,” katanya.

Ketika ini keanggotaan NSRC terdiri empat agensi, iaitu PDRM, Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan