Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Kemasukan Penuntut UTS Dijangka Cecah 5,000 Menjelang Akhir Tahun - Annuar

24/07/2025 12:17 PM

SIBU, 24 Julai (Bernama) -- Bilangan penuntut yang menyambung pengajian di Universiti Teknologi Sarawak (UTS) di sini dijangka mencecah 5,000 orang menjelang akhir tahun ini, kata Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Dr Annuar Rapaee.

Beliau berkata setakat ini jumlah pelajar yang mendaftar di universiti milik penuh kerajaan Sarawak itu melebihi 4,000 orang, melibatkan penuntut dari seluruh Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

“Saya boleh beri jaminan bahawa menjelang hujung tahun ini, kita mungkin capai 5,000. Tahun depan jumlah itu mencecah kapasiti penuh, iaitu 5,000,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Makan Malam Penghargaan UTS 2025 pada Rabu.

Dr Annuar berkata UTS kini mencatat jumlah kemasukan tertinggi dalam kalangan universiti tempatan di Sarawak dam menerusi pengambilan terkini bagi program asas, terdapat juga penuntut dari Semenanjung Malaysia. 

Beliau berkata UTS kini menjadi pilihan utama penuntut dari wilayah tengah negeri ini, mengatasi Swinburne University of Technology Kampus Sarawak di Kuching dan Curtin University Malaysia di Miri dari segi jumlah pelajar.

Dr Annuar berkata ketika beliau dilantik sebagai Pengerusi UTS pada 2021, universiti itu hanya mempunyai kira-kira 1,200 penuntut, dengan jumlah kemasukan merosot ketika pandemik COVID-19.

Bagi memastikan pendidikan tinggi dapat diakses oleh keluarga berpendapatan rendah, beliau bersama Naib Canselor Prof Datuk Dr Khairuddin Ab Hamid memperkenalkan skim biasiswa yang menampung 50 peratus yuran pengajian untuk semua pelajar, selain biasiswa tambahan sebanyak 80 peratus bagi 100 pelajar daripada kumpulan B40.

“Kami pernah dikritik kerana UTS yang dibina menggunakan dana kerajaan kononnya bukan untuk golongan miskin kerana yuran pengajian terlalu tinggi,” katanya.

“Tanpa yuran, sesebuah universiti tidak boleh beroperasi, namun jika tidak berbuat apa-apa, ia akan  menjadi satu beban. Terima kasih kepada skim biasiswa itu, jumlah pelajar kini meningkat daripada kira-kira 1,200 kepada lebih 4,000 orang dan berada pada landasan untuk mencapai 5,000,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan