Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

M40 Turut Nikmati Manfaat Inisiatif Kurangkan Kos Sara Hidup - PM Anwar

24/07/2025 11:17 AM

PUTRAJAYA, 24 Julai (Bernama) -- Golongan M40 turut mendapat manfaat daripada inisiatif kerajaan mengurangkan kos sara hidup, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata penurunan harga petrol RON95 serta penangguhan kenaikan kadar tol bagi 10 lebuh raya di seluruh negara antara inisiatif yang memberi manfaat kepada golongan M40, yang kebanyakannya menggunakan kenderaan seperti kereta dan melalui jalan bertol.

“Jadi kalau M40 kata sekarang ni kita hanya timbangkan B40 sahaja…kita mula dengan lebih rendah lagi, kita mula dengan kemiskinan tegar, lepas itu naik B40 (dan) sekarang naik M40. 

“Jadi begitu keadaannya, itu yang saya kata kena sabar sikit dalam pelaksanaannya tetapi sekurang-kurangnya alhamdulillah untuk M40 ini. Baik RON95 dan tol itu, beri manfaat kepada M40 dan ke atas,” katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri dalam Pengumuman Penghargaan untuk Rakyat Malaysia berkata kerajaan bersetuju menangguh kenaikan kadar tol bagi 10 lebuh raya supaya rakyat terus menikmati kadar tol sama.

Antara lebuh raya terlibat ialah Lebuhraya Senai-Desaru (SDE), Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB) dan  Lebuhraya KL-Putrajaya (MEX).

Anwar turut mengumumkan harga petrol RON95 akan diturunkan susulan rancangan penyasaran subsidi bahan api itu, dan rakyat Malaysia dijangka menikmati harga RON95 lebih rendah iaitu RM1.99 seliter bermula hujung September tahun ini, berbanding harga semasa RM2.05 seliter.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan